Statistik data kematian kanak-kanak kerana kes dera

Salamiah Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik data kematian kanak-kanak kerana kes penderaan daripada tahun 2018-2023 mengikut pecahan negeri, tahun dan jantina.

- Advertisement -

Beliau juga meminta menteri berkenaan menyatakan jumlah kes yang telah dibawa ke mahkamah dan diselesaikan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan daripada Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini sebagaimana di bawah.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Menteri Luar Negeri menyatakan langkah yang telah diambil oleh Wisma Putra dalam membantah perbuatan membakar kitab suci Al-Quran oleh salah seorang ahli politik sayap kanan Sweden di Stockholm baru-baru ini.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah usaha yang dilakukan oleh Kerajaan dalam usaha mengekang lebih ramai rakyat negara ini menjadi mangsa sindiket pekerjaan.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Menteri Pengangkutan menyatakan bilakah Pantai Timur terutamanya Kelantan akan mendapat landasan kereta api berkembar sebagaimana yang telah sekian lama dinikmati oleh rakyat di Utara dan Selatan.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Menteri Pengangkutan menyatakan perancangan terkini Kementerian memanfaatkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai hub penerbangan serantau dan menjadi pintu masuk utama pasaran Indochina.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Kesihatan menyatakan:

(a) statistik doktor yang sedang melanjutkan pengajian untuk menjadi doktor pakar dalam kesemua bidang kepakaran; dan

(b) inisiatif Kementerian untuk menggalakkan lebih ramai doktor melanjutkan pengajian di peringkat pakar khususnya bidang-bidang kepakaran yang kritikal.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Kesihatan menyatakan:

(a) status perkhidmatan kesihatan Malaysia akan terus kukuh di masa hadapan setelah diuji dengan wabak pandemik Covid-19 yang lalu; dan

(b) apakah perancangan Kementerian bagi memastikan aliran keluar tenaga pakar dari perkhidmatan kesihatan negara dapat dielakkan dan adakah fasiliti kesihatan di Malaysia sudah mampu membina vaksin sendiri.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah Kementerian bercadang untuk memperkenalkan inisiatif khas di luar Kuala Lumpur iaitu model ‘Council Home’ atau Rumah Majlis yang diperkenalkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan membeli kediaman pertama mereka.

Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan adakah Kementerian mempunyai rancangan jangka panjang untuk melatih belia-belia dalam negara kita sama ada dalam aspek sukan atau aspek lain sebagai satu pendekatan ke arah mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat.

Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan status usaha untuk menaiktarafkan semua rumah pam Pengairan Luar Jelapang di sepanjang Sungai Perak berikutan fungsinya dilihat kurang berkesan pada waktu ini disebabkan paras air Sungai Perak semakin rendah.

Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [Permatang Pauh] minta Menteri Sumber Asli, Alam  Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan hasil penilaian Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) projek Penang South Reclamation (PSR) serta nyatakan pendirian Kerajaan terhadap projek mega ini.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan langkah Kerajaan dalam memenuhi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030.

Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [Kuala Kangsar] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan peranan dan usaha Kementerian dalam memastikan pengambilan dan pengurusan pekerja asing lebih efektif.

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [Gerik] minta Menteri Kesihatan menyatakan apakah inisiatif pihak Kementerian untuk membela kebajikan dan kesihatan warga Hulu Perak amnya dengan mengambil kira fasiliti yang sudah berusia dan tidak relevan menampung pesakit kecemasan atau kritikal seperti mangsa kemalangan dan bersalin. Ini kerana Hospital Gerik sedia ada terpaksa menampung jumlah pesakit di daerah Hulu Perak dan mangsa kemalangan Lebuh Raya Timur Barat, tentera, pihak penguat kuasa sempadan, pelancong dalam dan luar negara.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta Menteri Pengangkutan menyatakan usaha Kementerian untuk menaik taraf kecekapan pengangkutan awam seperti komuter di pinggir bandar bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di pusat bandar.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sama ada Kementerian mempunyai perancangan untuk mewujudkan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sehingga kini sejauh mana kajian ke arah itu telah dilaksanakan.

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik data kematian kanak-kanak kerana kes penderaan daripada tahun 2018-2023 mengikut pecahan negeri, tahun dan jantina dan berapa jumlah kes yang telah dibawa ke mahkamah dan diselesaikan.

Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan sama ada Kerajaan berhasrat untuk membayar pampasan kepada Kerajaan Negeri Kedah berdasarkan kepada pengorbanannya dalam:

(a) simpanan tanah hutan seluas 107,495 hektar sebagai tadahan air bagi memenuhi keperluan bekalan air kepada negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis; dan

(b) tanah sawah padi seluas 107,472 hektar demi untuk jaminan bekalan beras negara.

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah bentuk pemantauan yang dilakukan ke atas aktiviti perjudian dalam talian yang semakin parah dalam kalangan belia. Apakah langkah mitigasi yang sedang atau akan diambil oleh pihak Kementerian bagi membendung kebejatan ini.

Waktu Pertanyaan Menteri

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu] minta Perdana Menteri menyatakan kekuatan fiskal negara ekoran matawang Ringgit yang semakin melemah dan apakah solusi Kerajaan bagi mengimbangi situasi ini. – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -