“Kalau ada campur tangan politik sila maklum saya,” – MB Perlis

Mohd Shukri Ramli ketika menyampaikan Amanat Menteri Besar
- Advertisement -

KANGAR: “Sekiranya ada campur tangan politik dalam gerak kerja anda, sila beritahu saya. Saya pasti akan menyebelahi tuan-tuan (penjawat awam),” kata Menteri Besar Perlis.

- Advertisement -

Mohd Shukri Ramli berkata, tanpa kerjasama penjawat awam sudah pasti gerak kerja kerajaan tidak berjalan lancar.

“Kritikan yang baik, pastinya akan membina masa depan lebih baik. Begitu juga jika beri pujian berlebihan pun tidak boleh juga.

“Saya mengimpikan sebuah negeri yang bersih dan indah. Contoh seperti di negara jiran kita, selepas operasi pasar malam semua peniaga balik di mana keadaan bersih seperti tiada apa-apa aktiviti,” katanya pada majlis Amanat Menteri Besar di Dewan 2020, di sini hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis, Ruselee Eizan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radhi Abas dan Pegawai Kewangan Negeri, Zepri Saad.

Pada majlis ini, setiap ketua jabatan diberi Buku Bajet Tahunan 2023.

Kakitangan awam yang menghadiri majlis Amanat Menteri Besar Perlis.
Antara kakitangan awam yang mendengar amanat Menteri Besar Perlis.

Menteri Besar berkata, di bawah kepimpinan PERIKATAN NASIONAL (PN) kerajaan negeri membuka ruang seluasnya kepada penjawat awam untuk menyuarakan cadangan atau pendapat demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Saya teringin sangat melaksanakan perkara ini di Perlis. Jadi selepas diamanahkan sebagai Menteri Besar, kita mahu buat di samping melakukan penambahbaikan,” ujarnya.

Walaupun pendekatan itu tidak menjadikan pentadbiran Perlis popular, namun beliau yakin penerapan nilai kebersihan akan membawa kebaikan.

Katanya, orang melihat Perlis bersih, cantik dan tidak sakit mata memandang.

“Tidak mungkin tiada niat dalam hati kita kebersihan itu adalah sesuatu yang utama. Kebersihan adalah separuh daripada iman. Sebagai orang Islam, kita harap penjawat awam akan membantu kerajaan mendidik rakyat mementingkan kebersihan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/1/2023

- Advertisement -