
ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan membiayai bayaran sewaan rumah 17 keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat kejadian aliran puing, Gunung Inas tahun lepas.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bayaran sewa itu dibuat sehingga kediaman yang dibina kerajaan siap.
Kataya, rumah terbabit dibina di tanah milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kampung Sadek, Kupang dijangka siap sepenuhnya Februari ini.
“Apa pun tidak boleh lajak atas daripada Februari sebab sasaran awal kita boleh didiami pada Disember lepas.
“Saya akan minta laporan daripada pihak pemaju bila rumah itu boleh siap,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat 2023 Bersama Penjawat Awam Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan akan membina rumah untuk 17 keluarga berkenaan melibatkan kos RM57,000 seunit yang akan dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.
Sanusi juga berkata, bayaran sewaan rumah yang ditanggung kerajaan negeri sekarang RM500 sebulan bagi setiap keluarga terbabit. – HARAKAHDAILY 5/1/2023











