Bekas penghulu di Kelantan dapat pampasan RM10,000

- Advertisement -

PASIR MAS: Bekas penghulu yang menjadi ahli Koperasi Penghulu Negeri Kelantan Berhad berpeluang mendapat pampasan sebanyak RM10,000 setiap seorang.

- Advertisement -

Pengarah Urusetia Majlis Penghulu Negeri Kelantan, Jamaluddin Ishak berkata, semua penghulu yang menjadi ahli koperasi tersebut akan dibayar pampasan RM10,000 selepas tamat perkhidmatan; atau sekiranya meninggal dunia, jumlah tersebut akan diberikan kepada keluarga masing-masing.

“Sumbangan sebanyak RM10,000 dibuat melalui potongan elaun setiap penghulu sebanyak RM10 sebulan sebagai ahli koperasi,” katanya.

Menurutnya, sebanyak RM1 juta telah dibelanjakan Tabung Koperasi Penghulu Negeri Kelantan (TKPNK) bagi membantu penghulu yang tamat perkhidmatan dan keluarga bekas penghulu yang meninggal dunia.

Beliau berkata, TKPNK ditubuhkan bagi menjaga kebajikan penghulu-penghulu kerajaan negeri  Kelantan yang menghadapi sesuatu musibah atau meninggal dunia.

“Kebajikan itu diambil kira memandangkan mereka bertugas hampir 24 jam setiap hari. Kerajaan negeri juga membayar saguhati sebanyak RM100 setiap tahun mengikut jumlah tahun mereka bertugas.

“Jumlah berkenaan ditambah menjadi RM300 setahun yang akan diberikan selepas penghulu menamatkan perkhidmatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan cek RM10,000 kepada keluarga allahyarham Muhammad Jaafar di Kampung Beta Pohon Buluh dekat sini, yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, Dato’ Mohd Nasruddin Daud.

Selain itu, ujar Jamaluddin, manfaat buat bekas penghulu itu tidak termasuk caruman Perkeso yang dicarum oleh  Pejabat Urusetia Penghulu Negeri.

“Koperasi Penghulu Kelantan juga mengusahakan empat unit kedai dobi layan diri bagi mengumpul dana buat ahli-ahli,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/1/2023

- Advertisement -