
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Dua ekor gajah denak bakal menjadi tarikan orang ramai sempena penganjuran Karnival Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) yang bermula hari ini sehingga 15 Oktober ini.
Ketua Pusat Konservasi Gajah, Cheku Mohamad Zamzuri Chik Wan Abdul Rahman berkata, kedua-dua haiwan itu dibawa dari Kuala Gandah Pahang.
Katanya, gajah terbabit diberi nama Cheri dan Sanum itu akan berada di Lembah Sireh sempena karnival terbabit.
“Kehadiran gajah bermula 8 pagi sampai jam 6 petang sahaja kerana kita mahu dia berehat pada sebelah malam dan tidak sesuai menjadi tontonan orang ramai.
“Kalau tengok sekarang pun dia masih mamai lagi sebab menempuh perjalanan jauh dari Pahang ke Kelantan iaitu kira-kira tujuh jam,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata lagi pada malam haiwan terbabit ditempatkan di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) terletak di Kemahang Tanah Merah dekat sini.
Cheri berusia 17 tahun, manakala Sanum pula 20 tahun merupakan hidupan liar yang diselamatkan ketika umurnya dua tahun.
“Sanum ini kita selamatkan gajah itu daripada dibaham harimau ketika umur dua tahun. Ketika anak gajah tersebut cedera diserang harimau di mana ekornya tiada kerana digigit harimau.
“Kita jaga dia sampai umur dia sekarang 17 tahun dan boleh bantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menarik gajah liar untuk menjaga keselamatan jadi banyak jasanya,” kata beliau.
Cheku Mohamad juga berkata, pameran gajah diadakan bagi memberi kesedaran serta memberi peluang kepada orang ramai mengenali gajah lebih dekat.
Malah katanya agensi di bawah Perhilitan Semenanjung Malaysia mewujudkan tabung bagi memberi sokongan kepada usaha itu. – HARAKAHDAILY 13/10/2022











