
Oleh SARINA ISMAIL
SUNGAI PETANI: Menteri Besar (MB) Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerima peletakan jawatan Dato’ Suraya Yaacob sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga berkuatkuasa hari ini.
“Saya menerima surat perletakan jawatan daripada Dato’ Suraya dan kita menerima perletakan jawatannya dan akan menggantikan jawatan berkenaan dengan Exco yang baharu,” katanya.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) di sini hari ini.
Suraya pada kenyataannya hari ini memaklumkan meletak jawatan berkuatkuasa serta merta. Beliau turut merakam ucapan penghargaan kepada semua pihak termasuk Tuanku Sultan Kedah dan kerajaan negeri atas kerjasama dan pelantikannya sebagai Exco sebelum ini.
Sanusi juga berkata, pihaknya tidak dimaklumkan sebab musabab perletakan jawatan berkenaan, namun terdapat ura-ura kemungkinan Adun Sungai Tiang itu bertanding sebagai calon parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Manakala pada perkembangan kata beliau pembahagian kerusi calon-calon Perikatan Nasional (PN) untuk PRU 15 di Kedah telah selesai dan akan diserahkan kepada PN Pusat 16 Oktober ini.
Pada 10 Oktober lalu Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran parlimen selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. – HARAKAHDAILY 13/10/2022











