
DALAM risalah Al-Ithāf Fi Bayān Masā’il Al-Íktikāf tulisan Syeikh Mohamed Ámū menjelaskan bahawa para solehin terdahulu sangat menjaga iktikaf mereka di bulan Ramadan, sehingga kebanyakan mereka beriktikaf apabila masuk sepuluh akhir Ramadan dan akan keluar dari masjid sama ada pada malam Aidilfitri atau pada pagi hari raya:
أما بخصوص زمن الخروج من الاعتكاف، فيبدو أن العلماء استحبوا أن يكون خروج المعتكف من معتكفه عند خروجه إلى صلاة العيد، قال إبراهيم النخعي: كانوا يستحبون للمعتكف أن يبيت ليلة الفطر في المسجد حتى يكون غدوه منه إلى العيد ولكي يصل عبادة بعبادة، أما الأوزاعي فقال إنه يخرج إذا غربت الشمس من آخر يوم من أيام العشر، لأن العشر تزول بزوال الشهر، والشهر يزول بغروب الشمس من ليلة الفطر
“Adapun berkenaan waktu keluar daripada iktikaf, nampaknya para ulamak lebih bersetuju dan memilih pandangan bahawa orang yang beriktikaf itu hendaklah dia keluar daripada tempat iktikafnya ketika dia hendak keluar untuk solat hari raya. Berkata Imam Ibrahim Al-Nakha’ie: Mereka iaitu para ulamak bersetuju dan memilih pandangan bahawa orang yang beriktikaf itu hendaklah tetap berada di masjid sehingga ke pagi esok baharu dia keluar untuk berhari raya supaya bersambungnya ibadah (iktikaf) dengan ibadah (solat hari raya). Sementara Imam Auza’ie berkata: Orang yang beriktikaf itu boleh keluar setelah terbenam matahari hari terakhir daripada hari sepuluh Ramadan kerana beredar sepuluh hari tersebut dengan berlalunya bulan dan bulan itu berlalu setelah terbenamnya matahari pada malam Aidilfitri”.
Iktikaf ada adabnya tersendiri yang perlu dijaga. Tidak boleh diperbanyakkan urusan kerja seharian semasa beriktikaf. Masa hendaklah dipenuhi dengan fokus khas kepada amalan untuk taqarrub kepada Allah S.W.T. Tidak usah sama sekali melayan media sosial, sibuk dengan telefon bimbit untuk urusan perniagaan termasuklah keluar masuk masjid secara kerap hanya untuk berjumpa seseorang dan membuat temujanji.
Pastikan iktikaf dilaksanakan di masjid dan bukannya di rumah. Di rumah hanya dibenar ketika berlaku dharurat di bulan Ramadan sahaja dan semasa masjid keseluruhannya ditutup dengan sebab dharurat tersebut. Namun, setelah kerajaan mengisytiharkan endemik dan tiada masjid ditutup, iktikaf tidak sah lagi di rumah! Pihak masjid juga hendaklah membuka seluasnya untuk kehadiran anak mukim beriktikaf dengan SOP yang ditetapkan. Janganlah ada pihak yang mengisytiharkan masjid tidak boleh untuk iktikaf, ia bukan hotel, untuk tidur, makan, kalau hendak iktikaf sila di rumah, sebagaimana kenyataan pihak berkuasa agama di Mesir. Kenyataan seumpama ini sangat dikesali dan tidak perlu keluar khasnya di sepuluh akhir Ramadan ini. Berusahalah untuk iktikaf, tidak dapat beri masa yang lama, sekejap itu sudah bermakna.
ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 27/4/2022




















