Bekas tahanan Guantanamo selama 14 tahun saman kerajaan Kanada

- Advertisement -

MONTREAL: Seorang bekas tahanan Guantanamo mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Kanada kerana didakwa menyebabkannya dipenjara dan diseksa selama 14 tahun.

Warga Mauritania, Mohamedou Ould Slahi, 51, yang tinggal kira-kira dua bulan di bandar ini, memfailkan saman CA$35 juta dengan mendakwa bahawa risikan salah kerajaan Kanada, membawa kepada penahanannya di penjara tentera luar pesisir Amerika Syarikat (AS) dan menderita dipukul dengan teruk, kekurangan tidur dan serangan seksual.

- Advertisement -

Dalam kenyataan yang difailkan bagi pihaknya di Mahkamah Persekutuan Kanada, tindakan kerajaan Kanada didakwa “menyebabkan, menyumbang dan memanjangkan penahanannya, diseksa, dipukul dan menghadapi serangan seksual di Guantanamo.”

Mengikut kenyataan itu: “Kerajaan Kanada didakwa mengambil kenyataan Mohamedou Ould di luar konteks dan kemudian diberikan kepada kerajaan AS sebagai bukti salah laku yang muktamad walaupun mengetahui (atau mengabaikan secara melulu) bahawa dia berisiko dianiaya.”

Kawasan penjara Guantanamo di Cuba, dipajak oleh AS sebagai pangkalan tentera laut sejak 1903. Tapak penjara itu dipilih dengan sengaja kerana berada di luar wilayah AS, sekali gus tidak tertakluk kepada undang-undang AS.

Penjara yang menempatkan suspek berkaitan serangan 11 September 2001, melambangkan tindakan melampau “perang melawan keganasan” AS kerana kaedah soal siasat keras yang disifatkan oleh pengkritik sebagai penyeksaan.

“Rakyat Kanada perlu memahami bahawa ini adalah kisah Kanada. Tanpa Kanada, saya tidak akan pernah diculik. Tanpa Kanada, saya tidak akan pernah diseksa,” katanya.

“Penahanan dan penganiayaan Mohamedou Ould berpanjangan kerana penerimaan dan penggunaan pengakuan secara paksa oleh kerajaan Kanada menyebabkannya terus ditahan dan diseksa,” kata peguamnya.

Dibebaskan dari Guantanamo pada 2016, dia kini bekerja sebagai penulis residen di sebuah teater Belanda, Noord Nederlands Toneel, selepas berpindah ke negara itu dari tanah airnya di Afrika Barat.

Filem Hollywood, “The Mauritanian”, yang penggambaran dibuat tahun lalu adalah berdasarkan buku Muhamedou Ould yang ditulis ketika di Guantanamo.

Kisah penahanan Mohamedou Ould di luar rumah keluarganya di Mauritania pada November 2002, dipenjara di Guantanamo tanpa bicara dan kerja keras peguam membelanya dipindahkan ke layar perak oleh pengarah filem, Kevin Macdonald,

Presiden AS, Joe Biden, ketika bergelar Naib Presiden di bawah pentadbiran Barack Obama dan ketika berkempen jawatan Presiden pada 2020 menyatakan bahawa Guantanamo harus ditutup. Bagaimanapun sejak memegang jawatan, Biden hanya membebaskan seorang tahanan Guantanamo.

Ini menjadikan bilangan tahanan di Guantanamo berkurangan kepada 39 orang, tetapi masih terdapat persoalan mengenai keupayaan Biden untuk menutup penjara itu. – MIDDLE EAST MONITOR

- Advertisement -