
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Langkah Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) menyediakan pengangkutan percuma untuk pelancong yang menginap di hotel menunaikan solat tarawih di Madinah Ramadan disambut baik pelbagai pihak.
Kata mereka usaha kerajaan negeri itu dapat membantu merancakkan industri pelancongan selepas dua tahun berdepan kesukaran akibat penularan wabak Covid-19.
Tujuh hotel berdaftar dengan TIC bagi melaksanakan program tersebut iaitu The Grand Renai, Hotel Perdana, H Elite Design, Jewels Hotel, Ibis Hotel, Grand River View dan Holiday Villa.
Setiausaha Kehormat Persatuan Hotel Malaysia Kelantan (MAH), Muhammad Azrin Zainal Abidin berkata, langkah kerajaan negeri itu memudahkan tetamu hotel menunaikan solat tarawih di Madinah Ramadan.
“Dengan adanya tawaran tersebut diharap dapat menarik lebih ramai pelancong bertandang ke Kelantan sempena Ramadan.
“Selain itu pihak pengurusan hotel juga menawarkan harga promosi kepada pelancong yang datang sempena Ramadan,” ujarnya di sini.
Madinah Ramadan merupakan lokasi tumpuan pelancong kerana menyediakan khemah besar berhawa dingin untuk membolehkan orang ramai menunaikan solat tarawih, mengikuti tazkirah, tafsir al Quran dan qiamulai.
Malah lokasi tarawih itu pernah memenangi anugerah peringkat antarabangsa sempena TPO General Assembly Closing Caremony di Daejon Korea pada September 2013.
Muhammad Azrin juga berkata, ada pelancong munghubunginya untuk mengetahui peluang solat tarawih di Madinah Ramadan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV.
Pengurus Holiday Villa Hotel, Mokhtar Latif turut menyokong langkah TIC menyediakan pengangkutan untuk pelancong menunaikan solat tarawih di Madinah Ramadan.
Menurutnya juga Holiday Villa turut membuat promosi buffet Ramadan dan bilik sempena Ramadan.
Penolong Pengurus Perhubungan Awam, Tan Chia Yin berkata, langkah yang dibuat kerajaan negeri sangat menarik dan secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan di Kelantan. – HARAKAHDAILY 13/4/2022




















