Kelantan sasar 300,000 pengunjung bulan ini

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri menjangka seramai 300,000 pengunjung datang ke Kelantan sepanjang bulan ini setelah kebenaran rentas negeri diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, negeri itu akan turut menerima tempias kedatangan pelancong.

- Advertisement -

Katanya trend kemasukan pengunjung akan merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri itu.

“Pengunjung tidak perlu khuatir memandangkan setakat ini lebih 80 peratus dalam kalangan pemain industri pelancongan termasuk kakitangan hotel, agen pelancongan dan pemandu pelancong lengkap menerima suntikan vaksin.

“Bagaimanapun, pengunjung serta pemain industri pelancongan diingatkan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal dan memakai pelitup bagi mengelakkan berlaku penularan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di sini semalam.

Md Anizam juga berkata, peniaga dan pemilik premis yang beroperasi diingatkan lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi mengelakkan penularan wabak berpunca sektor pelancongan.

Menurutnya juga aktiviti dan program pelancongan yang tergendala diteruskan semula tidak lama lagi.

Antaranya pertunjukan kesenian dan kebudayaan tempatan di Gelanggang Seni yang dikendalikan di bawah Pusat Penerangan Pelancongan Negeri (TIC). – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -