Bawa ke mahkamah pun gagal ceroboh tanah kerajaan

- Advertisement -

KANGAR: Semua pihak perlu menghormati undang-undang dan tidak melakukan sebarang binaan di tanah milik kerajaan tanpa sebarang kelulusan.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, sekiranya dibawa ke mahkamah sekali pun kes tersebut akan gagal apabila membabitkan tanah milik kerajaan.

- Advertisement -

Begitu juga katanya apa yang berlaku di Kedah berhubung perobohan struktur kuil yang dibina di atas tanah yang digazetkan sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu, Kuala Kedah suatu tindakan yang wajar.

“Saya menyokong penuh tindakan yang dibuat Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam isu tersebut walaupun tindakan itu tidak popolar.

“Pasti ada yang akan marah dan tidak bersetuju, biasalah dalam dunia politik bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang,” kata beliau ketika ditemui, hari ini.

Pada Selasa lepas, Majlis Bandaraya Alor Setar meroboh Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah.

Difahamkan, turut diroboh pihak berkuasa kerajaan tempatan sebuah gelanggang silat kerana dibina di atas tanah milik kerajaan.

Berikutan tindakan tersebut, kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) menyelar tindakan kerajaan negeri Kedah.

Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini memberitahu, perobohan kuil Hindu dibina di lokasi digazet sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu, Kuala Kedah berlandas undang-undang bukan isu perkauman, agama atau diskriminasi.

Oleh itu beliau kesal tindakan pihak berkepentingan cuba mengapi-apikan isu berkenaan. – HARAKAHDAILY 7/12/2020

- Advertisement -