SEPANG: Seramai 65 anak muda jati Kelantan serta pengiring selamat tiba tengah hari tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA setelah mengerjakan umrah secara percuma tajaan penuh Andalusia Travel & Tours menerusi Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan.
Rombongan yang diketuai oleh Pengarah Bersama Program Umrah Percuma Anak Muda Kelantan, Lt. Kol. Nik Saiful Adli Burhan yang mengiringi para peserta terdiri daripada anak-anak muda Kelantan berumur 18 hingga 35 tahun.
“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana kita semua selamat sampai ke tanah air dan kini anak-anak ini akan menaiki bas terus ke Masjid Imanul Faizin, Kelantan. Kita berdoa semoga mereka semua selamat sampai ke pangkuan keluarga masing-masing, Insya-Allah, kata beliau yang juga merupakan Pengerusi Masjid Imanul Faizin, Melor Kelantan.
“Program ini mencapai matlamat penganjur dan penaja, iaitu membawa sebahagian besar golongan anak muda yang bukan kaki masjid untuk dilatih menjadi ahli masjid. Sepanjang 30 hari persediaan di Masjid Imanul Faizin, mereka diwajibkan solat berjemaah, sebagai syarat sebelum menunaikan umrah.

“Dengan 65 peserta kali ini, matlamat program tercapai lebih 90 peratus. Komitmen mereka amat memberangsangkan. Latihan 30 hari di tanah air membuahkan hasil sepanjang 12 hari di Makkah dan Madinah.
“Walaupun program ini merupakan program perintis, saya kira program ini telah berjaya mencapai matlamat melahirkan para daie yang beriman serta seterusnya mengajak anak-anak muda ke arah kebaikan. Itulah matlamat sebenar apa yg kita nak capai pada program kali ini, ujar beliau lagi.
Turut hadir menyambut kepulangan mereka ialah pihak pengurusan Andalusia Travel & Tours serta wakil daripada Amal By Malaysian Airlines yang menaja pek makan tengah hari kepada anak-anak muda ini.
Program ini merupakan satu inisiatif yang amat bermakna, bukan sahaja untuk memperkukuhkan penghayatan agama dalam kalangan generasi muda, tetapi juga untuk memupuk semangat kekeluargaan dan keprihatinan terhadap para peserta.
Andalusia berbesar hati untuk menawarkan tajaan pakej umrah tersebut kepada 200 orang anak muda jati Kelantan yang dipilih berdasarkan pencapaian mereka dalam melaksanakan ibadah solat dengan tekun.
Ini bukan sahaja memberikan peluang untuk mereka menunaikan umrah, tetapi juga membuka peluang bagi mereka untuk lebih memahami erti kehidupan dan keinsafan melalui pengalaman spiritual yang mendalam di tanah suci.
“Kita akan meneruskan program ini di masa hadapan dengan kemungkinan kita akan buka kepada anak kariah masjid-masjid lain di seluruh negeri Kelantan bagi meluaskan pengambilan bukan sahaja terhad kepada anak-anak muda di sekitar Masjid Imanul Faizin sahaja, ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 9/1/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!