Isu ganti beras, bawang: Tak sensitif derita rakyat

Mohd Yusof Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan agar ubi kayu dijadikan alternatif kepada beras, dan kas-kas menggantikan bawang adalah kenyataan yang bersifat tidak sensitif terhadap kesusahan dan penderitaan rakyat.

Setiausaha Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Selangor, Mohd Yusof Abdullah berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan terlebih dahulu cadangan yang diutarakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai ubi kayu sebagai sumber alternatif karbohidrat bagi menggantikan beras, dan kas-kas menggantikan bawang oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar.

- Advertisement -

Menurutnya, rakyat sudah hilang keyakinan terhadap usaha kerajaan mengembalikan makanan asasi beras ini di pasaran seperti sebelum pembentukan kerajaan Madani,” ujarnya.

Beliau menegaskan, rakyat sangat terkesan dengan ‘kehilangan’ beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

“Apakah wajar bagi seorang pemimpin membuat kenyataan yang tidak masuk akal ini serta berharap rakyat dapat terus berdiam diri disebabkan kegagalan menangani isu beras putih tempatan yang berlarutan?” soalnya ketika dihubungi HarakahDaily.

Sehubungan itu, beliau turut merakamkan ucapan sedih dan dukacita kerana pemimpin Kerajaan Madani berdalih dalam isu ketiadaan beras dengan memberi cadangan tidak wajar.

“Sampai sekarang penyelesaian terhadap kenaikan harga barangan yang dibangkitkan rakyat selain beras adalah barang-barang penting bagi keperluan rumah tangga serta kedai makan seperti bawang belum lagi dapat diselesaikan.

“Kenaikan ketara harga bawang pula perlu diatasi segera. Pada masa sekarang, kenaikan harga bawang di pasaran dikatakan agak tidak munasabah dan timbul pula cadangan daripada Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar yang mencadangkan orang ramai menggunakan rempah kas-kas sebagai alternatif bawang,” jelasnya lagi.

“Oleh itu, cukup-cukuplah pihak kerajaan bersandiwara dan berdolak dalik. Hakikatnya pihak kerajaan yang mentadbir pada masa kini telah gagal.

“Berhentilah menyusahkan kehidupan rakyat dan jika keadaan berterusan kehidupan rakyat akan bertambah sulit dan menderita,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2024

- Advertisement -