Ekonomi Madani menuju “Mesra Bumiputera”?

Malaysia pesat membangun, tetapi bumiputera jauh ketinggalan dalam sektor ekonomi. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

TRANSFORMASI masyarakat daripada homogenis Melayu kepada heterogeneous Malaysia yang mengandungi kepelbagaian etnik dan tiga kaum majoriti telah merubah banyak perkara di tanah ini. Baik dalam struktur sosial, ekonomi, mahu pun politik.

Proses migrasi etnik dari tanah asal ke Tanah Melayu telah bermula sebelum era penjajahan, tetapi semakin rancak disebabkan oleh pelaksanaan dasar “pecah dan perintah” British. Ketika itu, sektor ekonomi telah dijadikan identiti utama etnik apabila berlakunya dominasi sektor tertentu yang mana, penduduk bumiputera tertumpu di sektor ekonomi luar bandar, manakala etnik Cina dan India yang migrasi ke tanah Melayu mendominasi sektor ekonomi di bandar.

Dasar ini telah mewujudkan jurang yang besar dalam sosio-ekonomi masyarakat kerana perbezaan pendapatan relatif antara kedua-duanya. Hal ini turut memberi kesan kepada pencapaian masyarakat dalam peluang pendidikan dan peluang menceburi bidang profesional.

- Advertisement -

Apa yang ‘uniknya’ ialah penduduk bumiputera tidak bernasib baik dan terus dipinggirkan sehingga ketinggalan jauh dalam sektor ekonomi dan tiada pengawalan kehidupan di tanah sendiri. Segala keuntungan dan kekayaan diraih oleh penjajah dan penduduk bukan bumiputera.

Hal ini berlarutan biarpun selepas merdeka sehingga menimbulkan ketegangan antara kaum. Keadaan ini telah memaksa kerajaan untuk menyelaraskan semula struktur ekonomi antara kaum dan menyusun semula penempatan masyarakat bagi menghapuskan asosiasi yang kuat antara kaum dan stratifikasi geografi. Maka, dasar ekonomi berasaskan kaum iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilancarkan pada tahun 1970.

Biarpun dasar ini telah dilaksanakan melebihi separuh abad, ternyata rakyat bumiputera masih tidak mampu mendominasi sektor ekonomi negara ini dan sering dibelenggu dengan pelbagai masalah ekonomi dan sosial. Manakala, taikun-taikun besar daripada kaum bukan bumiputera terus kukuh bertapak dan membina kekayaan di Malaysia.

Menurut Syed Hussein Al-Attas, dasar dan polisi DEB hanyalah mengkayakan golongan elit Melayu tertentu dan melahirkan golongan kapitalis Melayu. Tidak hairanlah apabila sebilangan besar kaum bumiputera terus bergelut dengan kemiskinan. Laporan Statistik Bumiputra 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan jurang ketidaksamaan pendapatan bumiputera dan bukan bumiputera semakin melebar apabila pendapatan yang diperolehi kaum bumiputera sentiasa berada di tahap yang lebih rendah berbanding kaum Cina dan India.

Lebih membimbangkan apabila paras pendapatan kaum bumiputera lebih rendah berbanding paras nasional. Selain itu, jumlah kaum bumiputera dalam bidang profesional juga adalah lebih rendah berbanding kaum bukan bumiputera. Malah, aktiviti pemilikan hartanah dan saham bumiputera juga adalah lemah.

Terbaru, satu kongres nasional iaitu Kongres Ekonomi Bumiputera telah berlangsung yang bertujuan untuk memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi bumiputera yang dikatakan selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani. Dalam kongres tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mencadangkan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera dengan menggariskan tiga matlamat iaitu keadilan sosio-ekonomi, kemampanan negara bangsa serta kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

Ironinya, Perdana Menteri pernah menegaskan sebelum ini bahawa dasar tindakan afirmatif harus dilanjutkan berasaskan keperluan, bukan lagi berasaskan kaum. Menurut beliau dalam satu wawancara eksklusif bersama “The CNBC Conversation” bahawa dasar yang dilihat terlalu menumpu kepada kaum akan menimbulkan kemarahan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Malah, kita dapat melihat dasar-dasar yang dilaksanakan selama ini sangatlah tidak “mesra bumiputera”, apabila pembayaran royalti di Kelantan dan Terengganu yang jumlah penduduk bumiputeranya tinggi telah dinafikan, manakala projek mega di negeri-negeri maju yang sedikit jumlah penduduk bumiputeranya diluluskan.

Bukan itu sahaja, peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang yang kesemuanya bumiputera turut disekat melainkan jika memenuhi syarat ‘politik’ yang ditetapkan. Selain itu, cadangan kerajaan dalam hal pemansuhan pencen untuk penjawat awam baharu turut tidak “mesra bumiputera” kerana majoriti penjawat awam ialah orang Melayu.

Maka, ke mana sebenarnya hala tuju Kongres Ekonomi Bumiputera madani ini? Ataupun inisiatif ini sekadar wayang untuk meraih semula sokongan bumiputera yang semakin dilihat berkurangan susulan pelancaran dasar dan polisi Madani yang banyak mengundang kritikan dan menimbulkan polemik dalam kalangan penduduk bumiputera?

Apa-apapun, saya nasihatkan pihak kerajaan agar berbincang dan perhalusi betul-betul setiap perkara dengan berpijak di alam nyata. Mudah untuk berbicara secara ideal dan retorika bahasa, tetapi sukar untuk dilaksana dan diimplementasi apatah lagi jika ‘geng’ tidak sekepala. – HARAKAHDAILY 17/3/2024

- Advertisement -