Penduduk Mexico ‘tidur beramai-ramai’

Sambutan Hari Tidur Sedunia 2024 di ibu negara Mexico. (FOTO: Asharq Al-Awsat)
- Advertisement -

MEXICO CITY: Ratusan peserta melibatkan diri di ibu negara Mexico sempena memperingati sambutan Hari Tidur Sedunia 2024 yang diadakan pada 15 Mac setiap tahun.

Tujuan sambutan itu dilakukan adalah untuk meningkatkan kesedaran gangguan tidur terhadap masyarakat di negara berkenaan.

- Advertisement -

Beralaskan tikar yoga biru, topeng tidur dan bantal, para peserta membaringkan diri di Monumen Revolusi yang ikonik di bandar itu untuk tidur buat seketika, yang dilabelkan sebagai ‘tidur beramai-ramai’.

Sambutan Hari Tidur Sedunia juga diadakan sebagai protes untuk mendesak supaya tidur dianggap sebagai bahagian penting dalam kesihatan dan kecantikan, lapor Global News.

Sebahagian peserta membalutkan diri mereka dengan selimut berwarna oren, dan juga yang memainkan muzik di telefon bimbit mereka sebagai usaha untuk tidur.

Antara yang melibatkan diri ialah pemuzik, Manuel Magana, 52, yang menggunakan fon telinga di samping isteri dan anaknya berumur 9 tahun yang tidur sambil berpegangan tangan.

Dia mengetahui mengenai sambutan ini menerusi berita ketika dia sedang mencari aktiviti yang menarik yang boleh dilakukan bersama keluarganya.

“Sebagai pemuzik, saya bekerja di waktu malam dan jarang untuk tidur dengan baik di waktu siang. Kadang-kala saya lupa untuk makan, dan apa yang saya dapat hanyalah tidur yang sekejap,”katanya.

Sementara itu, seorang jururawat, Gabriela Filio,49, membawa bersama anak perempuannya yang berumur 25 tahun dengan harapan generasi muda di Mexico akan berjuang untuk kehidupan dan pekerjaan yang seimbang.

“Kami berada di negara di mana gaji selalunya tidak bertambah. Kadang-kadang kita perlu bekerja dua kerja, tetapi kita juga perlu memastikan untuk menjaga kualiti tidur kita,” tegasnya.

Mexico disenaraikan sebagai negara yang kerja secara berlebihan di dunia menerusi laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan 2019, yang membandingkan waktu bekerja dalam kalangan berpuluh-puluh negara di seluruh dunia. – HARAKAHDAILY 17/3/2024

- Advertisement -