
BEIRUT: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Selasa mengeluarkan ugutan bahawa Lubnan bakal menghadapi kemusnahan ‘seperti (Semenanjung) Gaza’ ketika tentera pengganas Zionis Israel meningkatkan serangan daratnya terhadap Hizbullah di sepanjang bahagian selatan pantai Lubnan.
Amaran keras Netanyahu itu dikeluarkan ketika tentera Israel mengerahkan lebih ribuan tenteranya ke zon baharu di barat daya Lubnan dan menggesa orang awam yang berada di kawasan pantai untuk segera berpindah, lapor Al Arabiya.
“Anda mempunyai peluang untuk menyelamatkan Lubnan sebelum ia jatuh ke dalam jurang peperangan yang panjang, yang akan membawa kepada kemusnahan dan penderitaan seperti yang kita lihat di Gaza.
“Saya berkata kepada anda, rakyat Lubnan, bebaskan negara anda daripada Hizbullah supaya peperangan ini dapat berakhir,” katanya menerusi siaran video yang ditujukan kepada penduduk Lubnan.
Terdahulu, kumpulan pejuang Hizbullah berkata pihaknya telah melancarkan roket ke bandar pelabuhan Israel di Haifa, selepas tentera Israel melaporkan 85 peluru berpandu melintasi Lubnan.
Hizbullah turut mengancam akan melakukan lebih banyak serangan roket ke atas bandar dan daerah Israel jika pengeboman ke atas pusat penduduk di Lubnan berterusan.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qassem menegaskan kumpulan pejuang itu telah mengatasi ‘pukulan menyakitkan’ baru-baru ini dari Israel dan keupayaan mereka kini berada dalam keadaan baik.
Israel telah meluaskan operasinya di Lubnan hampir setahun selepas Hizbullah mula berbalas tembakan bagi menyokong sekutunya, Hamas, berikutan konflik Israel-Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.
Ketika memerangi Hamas di Gaza, Israel telah berikrar untuk menyelamatkan sempadan utaranya dengan Lubnan bagi membenarkan puluhan ribu rakyat Israel yang dipindahkan akibat tembakan rentas sempadan Hizbullah pulang ke rumah. -Agensi/– HARAKAHDAILY 9/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!