
PUTRAJAYA: Kerajaan diingatkan agar jangan mudah menggadai aset dan maruah negara ini kepada syarikat pro-Zionis dengan alasan demi kepentingan ekonomi semata-mata.
Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua berkata, cadangan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah dana pelaburan swasta Amerika Syarikat yang dikuasai oleh syarikat pelaburan multinasional AS, BlackRock, adalah satu langkah yang kurang bijak.
“Ini kerana tindakan sebegini benar-benar bertentangan dengan kehendak majoriti rakyat Malaysia yang sememangnya pro-Palestin memandangkan BlackRock itu sendiri jelas menyokong Zionis Israel,” katanya.
Menurut beliau, BlackRock telah banyak melabur dalam syarikat-syarikat pembekal senjata Israel haram itu sendiri seperti Lockheed Martin, Boeing dan General Dynamics.
Tambahnya, perkara ini jelas bertentangan dengan polisi luar negara ini yang jelas menolak keganasan negara haram itu terhadap rakyat Palestin.
“BlackRock jelas telah menimbulkan kegusaran terhadap majoriti rakyat negara ini yang senantiasa bersama-sama dengan rakyat Palestin.
“Jadi, perkara sebegini tidak seharusnya dibiarkan lebih-lebih lagi apabila melibatkan aset negara ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Seruan Serahan Memorandum Bantah Pegangan GIP-BlackRock (Pro-Zionis) terhadap MAHB di hadapan bangunan Kementerian Pengangkutan, di sini, pada hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid; Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Imran Sulaiman; dan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Dalam pada itu, Tian Chua menyeru kepada pihak kerajaan untuk mengkaji semula cadangan penjualan sebahagian saham MAHB kepada BlackRock kerana percaya bahawa masih terdapat alternatif lain yang boleh dilakukan.
Beliau juga tidak mahu sebarang syarikat pro-Zionis bertapak di negara ini memandangkan majoriti rakyat adalah jelas bersama-sama dengan perjuangan Palestin.
“Majoriti rakyat negara ini sanggup menolak apa pun barangan syarikat yang menyatakan sokongan kepada Zionis Israel.
“Maka, kerajaan pun seharusnya melakukan perkara yang sama iaitu menolak cadangan penjualan saham MAHB kepada GIP yang dikuasai BlackRock sebagai bukti sokongan terhadap rakyat Palestin.
“Justeru, kita menggesa kerajaan supaya benar-benar berjuang bersama-sama dengan rakyat Palestin seperti mana yang dinyatakan dalam ucapan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Rafique Rashid berkata, isu cadangan penjualan sebahagian saham MAHB kepada GIP bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh.
“Kerajaan perlu sedar dan memboikot syarikat yang ada kaitan dengan BlackRock yang sememangnya bersifat pro-Zionis,” tegasnya.
Beliau menyatakan walaupun setiap orang mempunyai perbezaan ideologi politik tetapi akan tetap bersatu dalam apa jua keadaan apabila menyentuh isu Palestin.
Ini kerana kata beliau, rakyat Palestin berhak mempertahankan kedaulatan mereka daripada sebarang kezaliman yang dilakukan oleh negara haram Israel.
“Jadi, saya harap kerajaan betul-betul berfikir semula mengenai isu pejualan sebahagian saham MAHB kepada GIP dan jangan sampai menggadaikan maruah negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY (23/5/2024)
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!