Rakyat berhak tahu proses tender kontrak JPJ

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) memandang serius mengenai isu penganugerahan kontrak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM190 juta kepada Heitech Padu Berhad.

Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, kontrak demi kontrak yang terus diperolehi oleh Heitech Padu telah menimbulkan kebimbangan dan persoalan di kalangan rakyat mengenai perjalanan proses tender yang dijalankan.

- Advertisement -

“Kebimbangan ini dizahirkan oleh rakyat apatah lagi antara pemegang saham utama Heitech Padu, Datuk Farhash Wafa Salvador adalah merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. 

“Akhbar The Edge Malaysia pada 16 April (semalam) melaporkan pada tahun 2021, Heitech Padu dianugerahkan kontrak yang sama namun untuk nilai RM36 juta setahun, dan disambung pada tahun 2023 dengan nilai RM27 juta setahun. 

“Justeru, wujud persoalan yang besar akan mengapa kontrak kali ini bernilai RM190 juta untuk tiga tahun? Ini menjadikan kontrak tersebut kini bernilai purata RM63 juta setahun. Kenaikan nilai yang amat besar ini perlu dijawab oleh kerajaan,”katanya menerusi kenyataan, pada hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, PN menggesa agar Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan lebih telus dan mendedahkan segala proses tender yang melibatkan Heitech Padu.

“Hal demikian termasuklah persoalan mengenai nilai kontrak yang tinggi serta senarai semua syarikat yang telah disenarai pendek bagi mendapatkan projek bernilai RM190 juta tersebut.

Katanya lagi, perkara sedemikian perlu dijelaskan kepada umum demi mengelak daripada isu ini terus menjadi polemik di kalangan rakyat.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa bekas Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil membuat laporan polis terhadap Farhash berhubung dakwaan pelaburan hampir RM40 juta di sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk kontrak kerajaan.

Isham berkata, bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri itu harus menjelaskan bagaimana dia memperolehi wang sebanyak itu untuk menjadi pemegang saham besar Heitech Padu Berhad.

- Advertisement -