Ecuador mulakan catuan elektrik bandar-bandar utama

Seorang penduduk di bandar Quito, Ecuador menyalakan lilin susulan catuan elektrik di bandar itu. (FOTO: The Guardian)
- Advertisement -

QUITO: Ecuador pada Selasa memulakan catuan elektrik di bandar-bandar utama negara berkenaan, berikutan cuaca kemarau yang melanda dan mengakibatkan empangan-empangan mengalami kekeringan sekaligus menjejaskan operasi loji hidroelektrik yang menghasilkan 75 peratus tenaga.

Catuan elektrik itu diumumkan oleh Kementerian Tenaga pada Isnin, dan memaklumkan mereka akan menilai semula keputusan berkenaan selepas mengadakan perbincangan pada malam Rabu.

- Advertisement -

“Kami menggesa warga Ecuador untuk mengurangkan penggunaan elektrik mereka pada minggu yang kritikal ini.

“Pertimbangkan bahawa setiap kilowatt dan setiap titisan air yang tidak digunakan akan membantu kita berdepan dengan realiti ini”, kata Kementerian Tenaga menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan. 

Keputusan Ecuador untuk mengadakan catuan elektrik itu hadir sehari selepas cuaca kering yang melanda ibu negara Colombia, Bogota menyebabkan negara itu terpaksa mencatu penggunaan air akibat daripada kekeringan empangan yang mencatat paras terendah, dan  mengakibatkan bekalan air terjejas.  

Pemilik restoran yang memiliki enam pekerja, Karen Verduga berkata, dia risau akan daging dan sayur beku di kedainya mengalami kerosakan jika catuan elektrik di negara itu berterusan.

“Pekerja saya tidak dapat menggunakan pengisar untuk membuat sup dan sos, jadi mereka terpaksa menyediakannya secara manual dalam tempoh yang lama.

“Kita terpaksa buat segalanya dengan kaedah yang lama,” katanya.

Catuan yang berlaku itu bagaimanapun membantu seorang peniaga lilin, Oriannis Arcano yang menyatakan jualan lilin di kedainya meningkat akibat ketiadaan elektrik.

“Bagaimanapun, ianya memberikan masalah kepada saya kerana ramai orang ingin membayar menggunakan kad, yang tidak dapat digunakan jika tiada elektrik,” tambahnya. 

Di samping itu, Colombia turut mengalami masalah penghasilan tenaga elektrik seperti yang dialami Ecuador sehinggakan pihak kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan cukai kepada syarikat yang dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik mereka, lapor The Guardian.

Colombia yang bergantung 70 peratus terhadap loji hidroelektrik dalam pada itu telah menghentikan eksport tenaga tersebut kepada Ecuador sejak awal April lalu, bagi menjimatkan penggunaan tenaga demi memenuhi keperluan domestiknya. – HARAKAHDAILY 17/4/2024

- Advertisement -