Keretakan di permukaan jalan Jambatan Tok Pasai

Jambatan Tok Pasai di Kuala Kedah, Kedah.
- Advertisement -

KUALA KEDAH: Keretakan di permukaan jalan Jambatan Tok Pasai, tidak melibatkan struktur utama pada mana-mana komponen penting, sebaliknya ia adalah keretakan pada permukaan jalan yang diturap.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataannya berkata demikian, susulan berikutan tular aduan isu keretakan di permukaan jalan jambatan terbabit beberapa hari selepas Aidilfitri. 

- Advertisement -

Menurut kenyataan itu, di bahagian bawah kawasan turapan tersebut terletaknya sendi pengembangan (‘expansion joint’) yang telah direka bentuk untuk menampung pergerakan struktur jambatan.

Dalam pada itu, isu aduan keretakan sebenarnya telah diambil maklum oleh pihak JKR sebelum ini melalui pemantauan rutin jabatan terbabit; malah, aduan itu juga jelas JKR adalah aduan lama tetapi ditular semula.

“Walau bagaimanapun, JKR bertindak membuat semakan awal di tapak pada 12 April lalu dan lawatan susulan tiga hari selepas bersama Pengarah JKR Kedah. 

“Malah, penyelenggaraan berkala bagi meningkatkan kebolehfungsian dan juga jangka hayat Jambatan Tok Pasai sentiasa dititikberatkan dan dilaksanakan oleh JKR dari semasa ke semasa,” tegasnya. 

Tambah kenyataan jabatan itu lagi, sendi pengembangan telah direka bentuk untuk menahan impak pergerakan jambatan daripada kenderaan berat yang melintasi jambatan berkenaan terbabit. 

Namun, sebagai langkah untuk meningkatkan jangka hayat jambatan tersebut, pihak JKR menasihatkan agar kenderaan berat atau lori yang lebih daripada tiga tan menggunakan laluan alternatif lain.

“Ini kerana proses penyelenggaraan dan menaik taraf jambatan itu masih lagi berterusan dijalankan oleh JKR mengikut bajet peruntukan semasa yang ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2024

- Advertisement -