Kerajaan perlu selesaikan tekanan jalan sesak musim raya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuat kajian secara terperinci bagi menyelesai atau mengurangkan tekanan kepada masyarakat akibat daripada kesesakan jalan raya ketika musim perayaan.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, hal ini adalah kerana musim perayaan adalah hari gembira dan meriah, bukan hari berduka dan bermasam muka. 

- Advertisement -

Menurutnya, fenomena tersebut sudah lama berlarutan bahkan semakin dirasai menambahkan kesukaran orang ramai mutakhir ini.

“Adakah ia (berpunca) daripada faktor pertambahan kenderaan, jalan raya yang tidak efisien, sikap pemandu yang tidak bijaksana, tempoh cuti yang singkat atau mungkin juga kesemuanya itu menjadi faktor penyumbang?

Tambahnya, kemeriahan menyambut Aidilfitri adalah suatu yang amat diharapkan oleh semua pihak. 

“Inilah ruang masa yang perlu dimanfaatkan untuk bertemu sanak saudara dan ahli keluarga, lebih-lebih lagi bagi yang berada jauh di perantauan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Namun setiap kali menyambut hari lebaran, ujar beliau, sering dipaparkan dengan gambaran perjalanan yang memeritkan sehingga berkali ganda tempohnya. 

“Perjalanan balik ke kampung yang memenatkan dan perjalanan balik semula ke tempat kerja yang menjerihkan, ditambah lagi jika tempoh percutiannya singkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -