Asia dibakar matahari: Ribuan sekolah ditutup

Keadaan dalam bilik darjah di sebuah sekolah di Quezon City, Metro Manila pada 18 April 2024. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

MANILA: Asia Selatan dan Tenggara menghadapi cuaca panas yang lebih melampau pada Ahad (28 April) ketika pihak berkuasa di seluruh wilayah mengeluarkan amaran kesihatan.

Gelombang cuaca yang sangat panas telah ‘membakar’ dua lokasi itu sejak minggu lalu, dengan suhu 45 darjah Celsius dan memaksa beribu-ribu sekolah mengarahkan pelajar tinggal di rumah masing-masing.

- Advertisement -

Filipina mengumumkan pada Ahad penggantungan kelas secara bersemuka di semua sekolah awam selama dua hari selepas hari panas yang memecah rekod di ibu negara Manila.

Di Thailand, di mana sekurang-kurangnya 30 orang maut akibat strok haba setakat tahun ini, jabatan meteorologi negara itu memberi amaran tentang ‘keadaan teruk’ selepas suhu di wilayah utara melebihi 44.1 darjah Celsius pada hari Sabtu (27 April) lapor AFP.

Sementara di Kemboja, Myanmar, Vietnam, India dan Bangladesh, peramal cuaca memberi amaran bahawa suhu boleh melebihi 40 darjah Celcius dalam beberapa hari akan datang.

Suhu global mencecah paras tertinggi tahun lepas, dan agensi cuaca dan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada Selasa lalu bahawa Asia mengalami kesan panas pada kadar yang sangat pantas.

Penyelidikan saintifik yang meluas mendapati perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih lama, kerap dan sengit.

Myanmar dilaporkan telah merekodkan suhu 3 hingga 4 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata April, kata pemantau cuacanya minggu lalu; dengan suhu di pusat bandar Mandalay mencecah meningkat kepada 43 darjah Celsius.

KementerianAair dan Meteorologi di Kemboja pula mengeluarkan amaran bahawa suhu juga boleh mencecah 43 darjah Celsius di beberapa bahagian negara pada minggu ini, manakala kementerian kesihatan menasihatkan orang ramai untuk memantau kesihatan mereka ‘ketika cuaca panas berkaitan perubahan iklim’.

Suhu di Vietnam juga diramalkan kekal tinggi semasa cuti kebangsaan lima hari, dengan ramalan ia mampu mencecah setinggi 41 darjah Celsius, terutama di utara.

Peramal cuaca di sana berkata ia akan kekal panas sehingga akhir April ini, dengan keadaan lebih sejuk dijangka pada bulan Mei.

Jabatan cuaca India pula berkata pada Sabtu lalu, bahawa keadaan gelombang haba yang teruk akan berterusan sepanjang hujung minggu ini di beberapa negeri, dengan suhu meningkat sehingga 44 darjah Celsius di beberapa lokasi.

Demokrasi terbesar dunia sedang berlangsung dalam pilihan raya umum selama enam minggu yang menyaksikan berjuta-juta pengundi beratur dalam suhu yang membara pada Jumaat.

Sehubungan itu, suruhanjaya pilihan raya India berkat, ia telah membentuk pasukan petugas untuk mengkaji semula kesan gelombang haba dan kelembapan sebelum setiap pusingan pengundian.

Di Bangladesh pula, pada hari ini, Isnin (29 April) berjuta-juta pelajar kembali ke sekolah yang telah ditutup akibat suhu yang melampau, walaupun biro cuacanya berkata pada Ahad, gelombang haba akan berterusan sekurang-kurangnya tiga hari akan datang.

Sementara penggantungan kelas secara bersemuka di Filipina berlaku selepas Manila menyaksikan suhu tertinggi pernah direkodkan, dengan pemandu jip turut merancang mogok di seluruh negara pada hari ini, Isnin dan esok, Selasa.

Menurut data daripada peramal cuaca negeri menunjukkan suhu di ibu negara Filipina itu mencecah rekod 38.8 darjah Celsius pada Sabtu, dengan indeks haba mencecah 45 darjah Celsius, data daripada peramal cuaca negeri menunjukkan.

Banyak sekolah di Filipina tidak mempunyai penghawa dingin, menyebabkan pelajar kepanasan dalam bilik darjah yang sesak dengan ruang pengudaraan yang buruk.

Semenbtara suaca panas berterusan pada Ahad, menyebabkan orang ramai yang berpusu-pusu ke pusat beli-belah berhawa dingin dan kolam renang.

Mac, April dan Mei lazimnya adalah bulan paling panas dan paling kering dalam setahun di rantau ini tetapi keadaan tahun ini telah diburukkan lagi oleh fenomena cuaca El Nino.

“Semua tempat di negara ini, tidak semestinya di Manila sahaja, dijangka mempunyai suhu yang lebih panas sehingga minggu kedua Mei,” kata Glaiza Escullar dari peramal cuaca negeri kepada AFP.

Di kawasa perbandaran Camiling di wilayah Tarlac, utara Manila, mencatatkan suhu 40.3 darjah Celsius pada Sabtu – yang tertinggi di Filipina tahun ini.- Agensi – HARAKAHDAILY 29/4/2024