PRU16: Dilema politik Melayu, Umno untungkan DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Politik Melayu disifatkan berdepan dilema dalam lanskap baharu politik Malaysia kerana dijangka tidak ada satu pun parti Melayu dapat memegang tampuk kuasa politik selepas PRU16 nanti.

- Advertisement -

Pensyarah Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Datuk Dr Marzuki Mohamed berkata, selagi mana parti-parti politik Melayu berada pada haluan yang berbeza, dilema ini akan berterusan.

Menurut beliau, walaupun ada parti politik Melayu dalam kerajaan iaitu sekiranya Umno masih bersama dengan Pakatan Harapan (PH), tetapi kuasa politiknya sudah tidak ada lagi kerana ia hanya sebuah parti yang lemah. 

“Parti-parti politik Melayu yang lain walaupun mendapat dokongan besar orang Melayu pula berada dalam pembangkang. Mereka juga tidak ada kuasa politik,” ujar bekas Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Ke-8 itu.

Beliau menerangkan senario tersebut berdasarkan dapatan kajian Dr Ong Kian Ming daripada DAP yang diterbitkan dalam Trends in Southeast Asia, sebuah makalah terbitan ISEAS-Yusof Ishak Institute, Singapura.

Secara khusus kupasannya daripada dapatan kajian lebih tertumpu kepada kelebihan yang dijangka bakal diperolehi DAP dan akibat akan diterima Umno secara langsung, sekali gus kepada parti-parti lain dalam PH secara tidak langsung.

Menurut Dr Marzuki, walaupun kajian dari PRN2023 dibandingkan PRU15 itu mendapati 80 peratus pengundi Melayu Barisan Nasional (BN) beralih kepada Perikatan Nasional (PN), tetapi data juga mendapati sokongan Melayu kepada DAP meningkat 7 peratus.

Jelas beliau dari kajian itu ianya adalah hasil kerjasama DAP-PH dengan Umno iaitu menyebabkan pemindahan undi Umno kepada DAP dan parti-parti PH terutama dalam kalangan penyokong tegar Umno yang telah berumur.

Kemuka beliau, kajian Dr Ong Kian Ming tersebut juga mendapati DAP mendapat sokongan padu orang Cina apabila hampir 100 peratus pengundi Cina di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah mengundi parti itu. 

“Dengan sokongan padu pengundi Cina dan 26 peratus sokongan pengundi Melayu, DAP menang selesa bukan sahaja di kerusi-kerusi majoriti pengundi Cina, tetapi juga di kerusi-kerusi ‘marginal’ DAP seperti Sekinchan, Sungai Pelek dan Chennah,” ujarnya.

Namun Umno kupasnya, berdepan nasib berbeza apabila menghadapi penolakan orang Melayu kerana bekerjasama dengan DAP di mana hanya selamat di kerusi mempunyai peratus pengundi Cina yang besar.

Menurut Dr Marzuki, persempadanan semula kawasan pilihan raya bakal disiapkan sebelum PRU16 akan menambah lebih banyak kerusi-kerusi majoriti pengundi Cina dan kerusi-kerusi campuran kaum di mana ia akan memihak kepada DAP.

Manakala katanya, kerusi-kerusi majoriti tipis Melayu di negeri-negeri jajaran Pantai Barat akan bertambah di mana PH akan mempunyai kelebihan di sini menerusi sokongan 100 peratus pengundi Cina dan sekurang-kurangnya 30 peratus pengundi Melayu. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -