Kecoh insiden bertumbuk di sidang parlimen Georgia

Mdinaradze (kiri) ditumbuk ketika sesi perbahasan di Parlimen Georgia. (FOTO: Fox News)
- Advertisement -

TBILISI: Sidang parlimen Georgia pada Isnin bertukar kecoh apabila seorang pemimpin dari parti kerajaan, Impian Georgia (GD) telah ditumbuk di muka sewaktu sedang melakukan perbahasan mengenai satu undang-undang kontroversi di negara berkenaan.

Mamuka Mdinaradze, 45, ditumbuk di bahagian muka oleh ahli parlimen pembangkang, Aleko Elisashvili, 46, ketika sedang berbahas mengenai undang-undang ‘ejen asing’ yang dikritik oleh negara-negara barat dan mencetuskan protes daripada penduduk Georgia kerana undang-undang itu dilihat menyamai apa yang dilakukan Vladimir Putin di Rusia. 

- Advertisement -

Rang mengenai undang-undang tersebut telah dihantar ke parlimen minggu lalu dan memerlukan media serta organisasi bukan komersial untuk didaftarkan sebagai ejen asing, sekiranya mereka menerima lebih 20 peratus dana daripada pihak luar atau bakal berhadapan dengan denda. 

Parti GD dalam pada itu menegaskan undang-undang tersebut adalah penting bagi memerangi apa yang disebut sebagai nilai ‘pseudo liberal’ yang dikenakan oleh warga asing, di samping untuk meningkatkan ketelusan.

Sementara itu, para pengkritik di Georgia melabelkan rang undang-undang berkenaan sebagai ‘undang-undang Rusia’ dan menyamakannya dengan usaha negara itu untuk menentang pihak yang tidak sehaluan dengan kerajaan. 

Rang undang-undang itu juga telah mengeruhkan hubungan Georgia dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) yang baru sahaja menerima negara itu sebagai calon EU pada Disember tahun lalu, dan menganggap undang-undang tersebut bercanggah dengan nilai EU.

“Mewujudkan dan mengekalkan persekitaran untuk organisasi masyarakat sivil dan memastikan kebebasan media adalah teras demokrasi. Ia juga penting untuk proses penyertaan (Georgia) ke EU,” kata jurucakap dasar luar EU, Peter Stano. – Agensi – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -