Israel gagal penuhi tuntutan Hamas

Penyelamat dan pegawai perubatan mencari mayat di Hospital Al Shifa yang rosak teruk.
- Advertisement -

KAHERAH: Cadangan Israel berhubung gencatan senjata di Gaza tidak memenuhi permintaan Hamas, tetapi pergerakan pejuang Palestin itu akan mengkaji tawaran itu dengan lebih lanjut dan menyampaikan maklum balas kepada negara pengantara.

Cadangan itu diserahkan kepada Hamas oleh pengantara Mesir dan Qatar dalam rundingan di ibu negara Mesir yang bertujuan untuk mencari jalan keluar dari perang dahsyat di Semenanjung Gaza yang kini memasuki bulan ketujuh.

- Advertisement -

Menurut televisyen Al Aqsa Hamas, pada masa sama, penduduk menyatakan bahawa tentera Israel meneruskan serangan udara di bahagian tengah dan selatan Gaza, semalam, termasuk membabitkan sebuah rumah di Al-Nusseirat yang mengorbankan 14 orang.

Serangan udara lain dilaporkan di Deir al-Balah, tengah Gaza dan Rafah di bahagian selatan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berulang kali membentangkan rancangan serangan darat ke atas Rafah yang didiami lebih sejuta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal walaupun rayuan antarabangsa untuk tidak meneruskan rancangan keji itu.

Rundingan di Kaherah yang turut dihadiri Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS), William Burns, setakat ini gagal mencapai kejayaan ke arah menghentikan perang.

“Pergerakan (Hamas) berminat untuk mencapai persetujuan menamatkan pencerobohan ke atas rakyat kita. Namun, Israel tetap tidak tegas dan tidak memenuhi mana-mana tuntutan rakyat dan penentangan kita,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Menurut Hamas, kumpulan itu akan mengkaji semula cadangan itu dan kembali kepada pengantara bersama jawapan.

Hamas mahu sebarang perjanjian yang dipersetujui memastikan penamatan serangan tentera Israel, pengunduran tentera Israel dari Gaza dan membenarkan penduduk Palestin yang berpindah pulang dengan selamat ke rumah mereka.

Matlamat segera Israel pula ialah untuk mendapatkan pembebasan rakyat negara itu yang ditahan oleh Hamas dan menyatakan tidak akan menamatkan perang sehingga dapat memusnahkan Hamas yang mentadbir Gaza sejak 2007. – REUTERS

- Advertisement -