Perantau sertai solat Aidilfitri di Markas Hujan Panas

- Advertisement -

MASJID TANAH: Solat suanat Aidilfitri yang berlangsung setiap tahun di Markas PAS Kawasan Masjid Tanah di Jalan Hujan Panas di sini mendapat sambutan baik daripada perantau yang pulang ke kampung.

- Advertisement -

Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan, Abu Hashim Abu Samah berkata, ia dapat dilihat melalui kehadiran mereka yang kebanyakannya baru pulang ke kampung untuk bercuti sempena lebaran.

“Kita sudah puluhan tahun sebenarnya menjalankan solat Aidilfitri di sini. Cuma semasa PKP sahaja kita berhenti sekejap.

“Selain itu memang kita sentiasa tidak putus menganjurkan ibadah ini. Bukan sahaja Aidilfitri, tetapi juga Aidiladha dengan ibadah korban, juga setiap tahun,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, walaupun ia berlangsung di markas PAS namun terbuka kepada sesiapa sahaja untuk hadir tanpa mengira fahaman politik.

“Malah ada yang hadir itu ialah penduduk sekitar yang kita tahu mereka bukan orang PAS pun, tetapi itu tidak menjadi masalah,” katanya.

Jelasnya, sambutan hari raya adalah suatu ibadah yang tidak harus dicampuradukkan dengan politik, kerana itu sesiapa sahaja dialu-alukan bersama.

“Selepas selesai solat kita ada sedikit jamuan untuk jemaah yang hadir. Ini pun menjadi budaya kita dalam majlis ini sekian lama.

“Jadi semasa kita menjamah hidangan itu kita juga dapat beramah mesra dengan jemaah yang hadir. Kita dapat bertanya khabar kawan-kawan yang sudah lama tak jumpa kerana mereka bekerja di negeri lain,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini pihak PAS kawasan sedang dalam usaha meningkatkan kemampuan fasiliti markas dengan dewan terbuka yang sedang dalam pembinaan.

Selain itu, katanya, dewan tertutup markas yang menjadi lokasi solat sunat Aidilfitri juga telah dinaik taraf dengan memasang pendingin udara bagi memastikan keselesaan jemaah.

“Sekarang ini kita sudah pasang dua pendingin udara dan ada dua lagi kita akan pasang dalam masa terdekat ni bagi menjadikannya lebih selesa berbanding sekarang,” katanya yang pernah diamanahkan sebagai calon pilihan raya bagi DUN Taboh Naning pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 lepas. – HARAKAHDAILY 10/4/2024