Yayasan Strategik Lestari lancar e-majalah, NEXUS+

- Advertisement -

CYBERJAYA: Yayasan Strategik Lestari (YSL) telah melancarkan majalah elektronik yang diperkenalkan dengan nama NEXUS+ disempurnakan Pengasas YSL, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, di sini kelmarin.

Pengarah Penyelidikan dan Media YSL, Dr Mukhtaruddin Musa memberitahu, makalah ilmiah secara naskhah digital ini menghimpunkan karya penulisan ahli akademik dan profesional dari pelbagai institusi dan industri. 

- Advertisement -

“Setiap artikel yang ditulis menggariskan permasalahan berdasarkan dapatan kajian terkini dan turut diapit dengan tindakan lanjut yang praktikal.

“Untuk edisi pertama, NEXUS+ mengangkat tema tenaga boleh baharu, perubahan iklim, teknologi pertanian dan keterjaminan makanan. 

“Empat tema tersebut sebagai gambaran di mana Malaysia sedang berada dalam persimpangan yang mencabar untuk mencapai keseimbangan antara kepesatan pembangunan dengan kelestarian masa depan.

“Penerbitan e-majalah sebegini akan melengkapkan inisiatif advokasi YSL, selain daripada webinar, audio siar (podcast), sidang meja bulat dan program tanggungjawab sosial korporat.

Menurut beliau, YSL ingin membuka peluang kepada mana-mana pihak yang ingin menjalinkan kerjasama strategik supaya hasrat mengarusperdanakan isu kelestarian dapat dijayakan.

Katanya, YSL sebagai institusi penyelidikan yang mendukung aspirasi memelihara kelestarian alam, melihat bahawa dunia sudah tenat dengan kesan perubahan iklim semakin ketara.

“Justeru memerlukan usaha berterusan untuk mencelikkan masyarakat terhadap kelestarian,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 5/4/2024

- Advertisement -