Negara dibolosi lelaki Israel: KDN digesa adakan siasatan

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) menggesa agar satu siasatan menyeluruh dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN), bagi menyiasat punca di sebalik kemasukan dengan mudah seorang lelaki Israel ke negara ini yang membawa bersamanya enam pucuk senjata api dan 200 butir peluru, sejak 12 Mac 2024.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam satu kenyataan pada hari ini berkata, langkah-langkah yang wajar perlu diadakan bagi mengelakkan isu yang sama daripada berulang lagi pada masa hadapan, serta satu pelan strategik bagi meningkatkan keupayaan agensi kerajaan dalam menangkis ancaman-ancaman luar yang berterusan menggugat keselamatan dan kedaulatan negara Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mewakili Pemuda PN mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan barisan anggotanya atas kejayaan menahan lelaki yang berasal daripada negara haram Israel itu pada Rabu.

- Advertisement -

“Meskipun begitu, di sebalik kejayaan ini timbul persoalan-persoalan yang wajar dijawab serta diuruskan secara tuntas dan profesional oleh pihak Kerajaan Madani.

“Ini bukanlah kali pertama negara Malaysia menjadi medan yang begitu mudah diceroboh anasir-anasir luar yang menggugat kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.

Menurut beliau, negara pernah dikejutkan dengan tiga kes berprofil tinggi yang menggegarkan negara, dengan yang pertama ialah kes pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), As-Syahid Dr Fadi M R Al Batsh Fatma yang didalangi unit perisikan Israel, Mossad pada tahun 2018.

“Kedua ialah kes pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam yang turut disyaki didalangi anasir dari negara luar.

“Yang ketiga ialah penahanan 11 individu warganegara Malaysia yang disyaki telah direkrut Mossad bagi menjalankan kes penculikan terhadap warga Palestin,” ujarnya.

Tambah beliau, jawapan daripada sidang media oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain semalam, menunjukkan bahawa pihak PDRM turut mengesyaki keterlibatan individu ini dengan unit risikan Israel serta kebarangkalian individu ini mempunyai ‘rakan-rakan’ atau rangkaiannya dalam negara ini.

“Siasatan awal PDRM turut mendapati warga Israel ini telah memasuki negara menggunakan pasport Perancis, namun setelah ditahan dan disiasat barulah individu ini mengeluarkan pasport Israel yang dimilikinya.

“Oleh sebab itu, terdapat dua persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan khususnya KDN berkaitan perkembangan semasa ini.

“Pertama, bagaimana mungkin sistem imigresen negara boleh dibolosi oleh individu yang mempunyai kerakyatan Israel tanpa dapat dikesan lebih awal akan keterlibatannya.

“Sedangkan Malaysia tidak mengiktiraf negara haram Israel serta melarang kemasukan warga Israel ke dalam negara Malaysia. Maka, aspek kawalan terhadap individu berasal dari negara haram Israel patut dikawal dengan lebih ketat.

“Kedua, bagaimana boleh wujudnya kelompongan dalam negara sehingga individu tersebut berjaya pula melakukan transaksi pembelian enam pucuk senjata api dan 200 peluru dalam negara, seolah-olah dengan begitu mudah sekali,” tegas beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Alor Setar.

Beliau menyatakan lagi, tanpa menafikan jasa dan pengorbanan golongan penjawat awam dalam melaksanakan peranan mereka dengan kapasiti yang ada, isu yang berlaku pada hari ini sepatutnya menjadi isyarat kepada KDN dan kementerian lain agar memandang serius berkenaan isu kedaulatan, keselamatan dan tahap kawalan sempadan negara.

Aspek ini, ujar beliau, merupakan salah satu fokus utama yang patut menjadi agenda besar kerajaan dalam membawa agenda reformasi dan tatakelola yang baik sepertimana selalu dicanangkan.

“Apa yang menggusarkan rakyat adalah apabila menteri-menteri kerajaan Madani terlalu sibuk ‘berpolitik’ sehingga meninggalkan kerja hakiki mereka dalam merangka dasar-dasar yang baik untuk rakyat dan negara,” katanya. -HARAKAHDAILY 30/3/2024

- Advertisement -