Tangguh bahas RUU: Kenyataan lemah Menteri

Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berhubung penangguhan mengejut perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) pada Rabu lepas sebagai tidak jujur, lemah dan bermuslihat.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan sebegini seolah-olah bertujuan untuk menutup masalah yang lebih besar yang dihadapi oleh pihak kerajaan.

“Ini dibuktikan dengan kenyataan beliau kepada media pada 28 Mac lalu bahawa penangguhan tersebut dibuat bagi memberi ruang lebih luas kepada ahli Parlimen untuk membahaskannya pada sesi Dewan Rakyat akan datang kerana RUU melibatkan pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, terdapat perbezaan draf yang dibentangkan oleh kementerian dalam sesi libat urus dengan pelbagai pihak sebelum itu berbanding kandungan RUU yang dibentangkan di Parlimen.

Tambahnya, kerajaan pada hakikatnya berdepan dengan masalah yang lebih besar iaitu ketidakcukupan sokongan sekiranya perbahasan diteruskan dan diikuti pengundian mengikut jadual selain daripada persoalan sama ada RUU tersebut telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu itu sendiri.

“Pemeriksaan senarai kehadiran Parlimen pada 27 Mac 2024 mendapati seramai 211 orang Ahli Parlimen berdaftar hadir, manakala 11 orang Ahli Parlimen tidak hadir di mana 9 orang daripada mereka merupakan Ahli Parlimen blok Kerajaan,

“Ini menjadikan jumlah Ahli Parlimen kerajaan yang hadir adalah seramai 145 orang sahaja (termasuk enam orang yang asalnya dari kalangan PN), iaitu kurang tiga orang berbanding sejumlah 148 orang yang diperlukan bagi meluluskan pindaan Perlembagaan dengan sokongan minimum dua pertiga Ahli Parlimen.

“Adalah lebih menonjol lagi apabila hitungan rambang semasa Bacaan Kali Kedua dibuat mendapati jumlah ahli blok kerajaan kurang dari 145 orang kerana pada masa itu Timbalan Perdana Menteri I dan beberapa Menteri tidak kelihatan berada dalam Dewan (Rakyat) walaupun hadir pada sebelah paginya,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan, selain daripada masalah kelulusan RUU tersebut kerana ketidakcukupan sokongan dua pertiga, kegagalan kerajaan dalam hal ini juga dianggap sebagai undi tidak percaya (vote of no confidence) terhadap Perdana menteri dan kerajaannya.

Ini kerana kata beliau, dalam konvensyen yang menjadi amalan di United Kingdom menunjukkan sekiranya kerajaan gagal mendapatkan sokongan mencukupi terhadap agenda besarnya seperti Titah Diraja atau ucapan Belanjawan maka kerajaan dianggap telah kehilangan kepercayaan Dewan (Rakyat).

“Justeru, ia perlu bertindak sewajarnya, iaitu sama ada Perdana Menteri meletakkan jawatan, membubarkan Parlimen atau kerajaan memasukkan usul khas undi percaya untuk diputuskan oleh ahli (Dewan Rakyat).

“Dalam konteks ini, RUU Pindaan Perlembagaan juga diterima secara konvensyen sebagai ‘agenda besar’ kerajaan dan kegagalannya mendapat sokongan mencukupi menyebabkan ia dianggap telah kehilangan kepercayaan Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau bersama-sama PN beranggapan kerajaan secara tidak jujur telah bertindak secara melulu dan menyalahgunakan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tanpa alasan serta penjelasan yang sah.

Beliau juga menegaskan, ini ditambahkan lagi dengan Menteri Dalam Negeri sendiri memberikan alasan yang lemah dan bermuslihat bagi ‘menyelamatkan keadaan’ seolah-olah ingin menutup kelemahan dan kegagalan pihak kerajaan itu sendiri.

“PN dengan tegasnya menggesa agar kerajaan perlu lebih bermaruah dan jujur dalam hal ini dengan mana Menteri Dalam Negeri perlu meletakkan jawatannya dengan segera dan Kerajaan perlu membentangkan semula RUU terbabit di Parlimen akan datang setelah terlebih dahulu mendapat perkenan baharu daripada Majlis Raja-Raja,

“Ini sekaligus menjadikan pembentangan yang dibuat sebelum ini sebagai tidak sah dan terbatal,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2024

- Advertisement -