Pemain bola remaja Algeria maut disepak di padang

Wassim Jazzar rebah di padang selepas disepak oleh pemain pihak lawan dalam insiden di Algeria ini. (FOTO: Metro.co.uk)
- Advertisement -

ALGERIA: Seorang pemain bola sepak remaja Algeria berumur 17 tahun maut selepas terkena sepakan dari pihak lawan di bahagian perutnya.

Insiden berlaku apabila mangsa, Wassim Jazzar cuba untuk mengelecek bola dan secara tidak sengaja ditendang oleh pemain pihak lawan di bahagian perutnya sebelum rebah di atas padang. 

- Advertisement -

Pemain dari kedua-dua pasukan kemudiannya berkerumun untuk melihat keadaan Jazzar sejurus permainan dihentikan oleh pengadil. 

Ketika insiden itu berlaku, tiada ambulans atau doktor dilaporkan berada di situ dan Jazzar terpaksa dikejarkan ke hospital dengan kereta, lapor Metro.co.uk.

Dia kemudiannya dilaporkan meninggal dunia dengan sepakan di bahagian perutnya itu menjadi punca utama kematiannya. 

Sementara itu, laporan media tempatan mendakwa remaja tersebut meninggal dunia ‘sejurus selepas terkena sepakan itu’.

Presiden Persatuan Bola Sepak Algeria, Walid Sadi, dalam pada itu menyampaikan ucapan takziah terhadap ahli keluarga Jazzar dan berdoa agar pihak keluarganya diberikan ketenangan dan kesabaran  menghadapi dugaan tersebut. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -