Rakyat Terengganu akan kenang Anwar sebagai PM zalim

Ahmad Samsuri (tengah) dan Nuri Al Amin (empat dari kanan) dalam sidang media Serahan Memorandum Kembalikan Royalti Terengganu di hadapan pintu masuk bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada hari ini, 25 Mac 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat Terengganu dan generasinya akan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dikenang dan diingati sebagai Perdana Menteri yang zalim dalam sejarah negeri itu, sekiranya beliau terus tekad untuk menafikan royalti minyak.

Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) melalui memorandumnya berkata, Kerajaan PH-BN tidak membayar sebahagian royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu mengakibatkan perjalanan pentadbiran dan lebih banyak inisiatif kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya yang menjadi hak rakyat Terengganu sejak sekian lama bakal terjejas. 

- Advertisement -

Menurut kenyataan tersebut, Anwar hanya bertindak melunaskan kira-kira RM786 juta sahaja daripada anggaran royalti keseluruhannya iaitu sebanyak RM1.5 bilion bagi tahun 2023.

“PERANTAU sedia maklum mengenai beberapa usaha serta pertemuan atau perbincangan telah diadakan antara Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan Perdana Menteri untuk penyelesaian pembayaran royalti Terengganu,” ujar kenyataan memorandum tersebut.

Presiden Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Prof. Madya Dr. Nuri Al Amin Endut  telah menyerahkan memorandum yang berjudul, Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) Mengenai Isu Royalti Terengganu kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di hadapan pintu masuk bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli; Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh; dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid.

Menurut kenyataan itu lagi, Program Kad Sejahtera iaitu bantuan perubatan asas klinik swasta untuk rakyat B40 Terengganu yang melibatkan kos lebih daripada 4.2 juta namun terpaksa dihentikan akibat daripada royalti yang tidak dilunaskan ini. 

“Bagi tahun 2023, kerajaan negeri telah membelanjakan duit royalti untuk subsidi bayaran klinik dan perubatan sehingga RM300 hingga 500 bagi satu keluarga dalam tempoh satu tahun.

“Program ini ternyata dapat mengurangkan beban setiap peserta yang layak apabila mereka tidak perlu ke klinik kerajaan yang sedia maklum sesak untuk mendapatkan rawatan dan perubatan sebaliknya berpeluang untuk ke klinik swasta di setiap lokaliti mereka,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan seterusnya menegaskan, rakyat Terengganu kesal dengan polisi Anwar dalam isu royalti ini yang ternyata tidak adil dan mendesak Kerajaan Persekutuan agar melunaskan segera bayaran royalti yang telah tertangguh bagi tahun 2023.

Tambah kenyataan tersebut, Perjanjian Petroleum di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS pada 22 Mac 1975, mengikut Seksyen 4 Akta Petroleum 1974 adalah sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan yang diletakkan padanya menurut Akta ini.

“Perbadanan itu hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai sebagaimana yang dipersetujui antara pihak-pihak yang berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan mana-mana Negeri yang berkenaan.

“Pertamanya, PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada Kerajaan Negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan lima peratus daripada nilai petroleum yang didapati di Terengganu dan dijual oleh PETRONAS atau ejen-ejen atau kontraktor-kontraktor dalam tempoh yang diperuntukkan dalam Fasal 2.

“Keduanya, pembayaran wang tunai yang periu dibayar di bawah Perjanjian ini hendaklah dibayar pada tiap-tiap setengah tahun.

“Ketiganya, pembayaran bagi petroleum yang didapati, diperolehi dan dijual dalam tempoh setengah tahun yang kedua hendaklah dibuat pada atau sebelum satu haribulan Mac dalam tahun yang berikutnya,” ujar kenyataan tersebut.

PERANTAU menurut kenyataan tersebut dalam pada itu, mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahmad Samsuri merangkap Ahli Parlimen Kemaman yang telah menggunakan saluran diplomasi dalam setiap usaha-usaha rundingan bagi mendapatkan bayaran royalti demi kepentingan rakyat  Terengganu.

“Kami berharap agar Perdana Menteri  tidak mengambil kesempatan di atas sikap professionalisme Menteri Besar Terengganu dan menghormati hubungan federalisme antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dengan memberikan hak yang sepatutnya kepada rakyat Negeri Terengganu tanpa bermain kata-kata retorik dan janji palsu politik yang terkebelakang.

“Sesungguhnya perjuangan untuk mendapatkan bayaran politik secara langsung kepada Kerajaan Negeri Terengganu adalah perjuangan rakyat Negeri Terengganu sejak sekian lama,” kata kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -