Gaza: AS selar Rusia, China veto draf resolusi PBB

Linda Thomas-Greenfield menyelar Rusia dan China yang bersepakat memveto draf resolusi mengenai Gaza yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat, dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di ibu pejabat PBB di New York City pada hari ini, Jumaat 22 Mac 2024. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

NEW YORK CITY: Amerika Syarikat  menyelar sambil melabelkan Rusia dan  China sebagai ‘keterlaluan’ selepas kedua-dua negara itu bersepakat memveto draf resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai Gaza yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat.

Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield telah bertindak balas terhadap veto Rusia dan China terhadap resolusi AS dengan mengatakan kedua-dua negara itu ‘enggan mengutuk pejuang Islam Hamas kerana membakar orang hidup-hidup, kerana menembak mati orang awam yang tidak bersalah di konsert dan kerana memperkosa wanita dan gadis’.

- Advertisement -

“Ini adalah serangan paling teruk ke atas orang Yahudi sejak Holocaust, dan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB tidak boleh mengutuknya.

“Saya minta maaf, tetapi ini keterlaluan dan di bawah maruah badan (Majlis Keselamatan PBB) ini,” tegasnya.

Terdahulu, Hamas telah berulang kali menafikan dakwaan pejuangnya melakukan tindakan keganasan seksual semasa serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel.

Dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di ibu pejabat PBB di New York City pada hari ini, Jumaat (22 Mac), Rusia dan China telah memveto draf resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai Gaza yang dicadangkan oleh AS, lapor Al Jazeera.

Langkah itu akan ‘menentukan pentingnya gencatan senjata segera’ tetapi kedua-dua Rusia dan China menentang draf resolusi tersebut dengan berkata, “Draf resolusi AS itu  tidak cukup jelas dan tepat mengatakan ia sepatutnya ‘menuntut’ gencatan senjata di Gaza.”

Perancis rancang gencatan senjata baharu

Sementara itu, Perancis akan mengusahakan resolusi gencatan senjata baharu PBB di Gaza selepas draf resolusi AS itu diveto Rusia dan China.

Presiden Emmanuel Macron berkata, “Berikutan veto Rusia dan China beberapa minit yang lalu, kami akan meneruskan kerja berdasarkan draf resolusi Perancis di Majlis Keselamatan PBB dan bekerjasama dengan rakan kongsi Amerika, Eropah dan negara-negara Arab kami untuk mencapai persetujuan.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam sidang kemuncak pemimpin Kesatuan Eropah (EU)  di Brussels, Belgium pada hari ini, Jumaat (22 Mac)

Terdahulu, Kementerian luar Perancis berkata pada Khamis (21 Mac),  ia telah mula merangka resolusi dengan diplomat, mengatakan mereka akan mengemukakan draf ke hadapan jika draf resolusi AS tidak diluluskan. – HARAKAHDAILY 22/3/2024

- Advertisement -