Berjaga-jaga dengan pengapungan harga minyak

Ahmad Yazid Othman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berjaga-jaga dalam melaksanakan pengapungan harga minyak RON95.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Ahmad Yazid Othman berkata, tindakan tersebut tidak dinafikan membawa kebaikan kepada rakyat dari segi pemberian tunai.

- Advertisement -

“Ini kerana penjimatan sebanyak RM29 bilion dapat disalurkan semula kepada rakyat yang mana rakyat sendiri dapat menikmati melalui langkah kerajaan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, perkara sebegini digabungkan lagi dengan pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dikatakan dapat meluaskan lagi bantuan wang tunai kepada sesiapa yang layak selain daripada mereka yang layak menerima Bantuan Tunai Rakyat yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Tambah beliau, perkara sebegini juga sangat sesuai untuk rakyat lebih-lebih dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.

“Apabila kerajaan melakukan pengapungan minyak maka kebaikannya ialah melalui pinjimatan yang banyak membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan wang tunai kepada rakyat.

“Malah, sindiket jual bahan api ke luar negara juga dapat dimatikan akan tetapi pihak kerajaan harus sedia maklum bahawa langkah sebegini juga berpotensi memberikan kesan buruk iaitu berlakunya kenaikan kos barang dan perkhidmatan,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pemberian tunai yang akan dilakukan oleh kerajaan cukup untuk menampung kesan kenaikan harga barang itu sendiri.

“Ini kerana kita harus faham bahawa pengapungan harga minyak RON 95 akan memberikan kesan kepada kos barangan dan perkhidmatan yang menggunakan minyak tersebut dan diesel.

“Jadi, kerajaan harus mengambil maklum mengenai perkara ini kerana walaupun pengapungan harga minyak ini membawa kebaikan tidak bermakna bahawa tindakan tersebut tiada keburukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2024

- Advertisement -