Langkah terbaharu kerajaan cetus kenaikan harga sayur 

Harga sayur-sayuran di pasaran Malaysia kini naik sebanyak 25 peratus. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga sayur-sayuran sebanyak 25 peratus pada ketika ini adalah kesan daripada pengurangan tenaga buruh warga asing, susulan daripada langkah terbaharu kerajaan Madani.

Terdahulu, pengumuman telah dibuat bahawa kerajaan tidak akan melanjutkan proses verifikasi pekerja asing kepada semua majikan yang mendaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 sebelum 31 Mac ini.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor berkata, sayur-sayuran merupakan tanaman kontan yang memerlukan tempoh  tiga hingga enam bulan sebelum mendapatkan hasilnya. 

“Jadi, sejauh mana kerajaan menyusun atur dan merancang bagi menggantikan dan menggerakkan tenaga pekerja asing  ini dalam mendapatkan hasil sayur dan seterusnya mendapatkan manfaat dalam sektor pertanian,” katanya kepada HarakahDaily.

- Advertisement -

Menurut beliau, pihak Kementerian Keterjaminan Makanan perlu mengatasi masalah ini memandangkan isu kenaikan harga sayur sudah lama bahkan sekarang ia menjadi lebih terkesan apabila kuota pekerja dihentikan.

“Apakah usaha pihak kementerian untuk memperkasakan dasar pertanian ini? Kadang terlihat sektor pertanian ini agak ketinggalan zaman. 

“Sepatutnya negara kita boleh menjadi pengeluar pertama dalam sektor pertanian. 

Salamiah Mohd Nor

“Jikalau dilihat sektor pertanian negara Thailand yang mempunyai teknologi yang canggih dalam sektor pertanian dan boleh melonjak kepada negara yang menghasilkan produk utama negara, Malaysia tidak jauh beza anugerah Allah SWT kerana negara kita ini memiliki tanah yang subur dan iklim yang sesuai,” ujarnya.

Tambah beliau, kementerian terbabit perlu melihat sasaran kepada kaum Orang Asli untuk menaik taraf hidup dan membimbing mereka menjadi sasaran bagi tanaman kontan bagi menghasilkan sayuran-sayuran yang berkualiti dengan menggunakan teknologi terkini. 

“Ini kerana cara kehidupan dan budaya mereka yang sangat bersesuaian secara geografi dan jangan pinggirkan mereka dengan teknologi baru zaman sekarang.

“Begitu  juga dalam mengatasi masalah pengangguran golongan belia, dicadangkan agar tanah terbiar yang banyak negara ini diusahakan bagi memenuhi keperluan rakyat. 

“Warga kota juga tidak dikecualikan dengan melibatkan tanaman sayur secara agroponik untuk memenuhi keperluan sara hidup masing-masing,” hujahnya.

Salamiah juga menyatakan bahawa kerajaan perlu menyelesaikan masalah tentang  produk pertanian dan fokus membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D), yang boleh menghasilkan produk-produk dalam sektor pertanian itu sendiri.

“Produk yang dihasilkan daripada ubi kayu contohnya, bukanlah hanya sekadar kerepek. Saya memberi contoh di negara Jepun, produk penghasilan wasabinya melebih 20 jenis,” tegasnya.

Beliau juga menggesa pihak kerajaan agar perlu bertindak pantas dalam menangani situasi ekonomi yang membimbangkan dengan tidak lagi mengimport sayur-sayuran dari luar negara dalam keadaan mata wang negara mengalami susut nilai.

“Kementerian terbabit juga harus mengorak langkah yang pantas, cepat dan cekap dengan teknologi yang canggih,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -