Dari sumber mana RM5.2 juta untuk JPKKP Terengganu?

Mohd Harun Esa
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan diminta menjelaskan dari mana sumber peruntukan sebanyak RM5.2 juta kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Terengganu.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, terdapat beberapa kepelikan terhadap pelantikan JPKKP itu dengan sumber dana yang begitu banyak diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM).

“Pertama, PM Kerajaan Madani tak pernah gagal dalam setiap ucapannya bercerita tentang beban kewangan yang dihadapi Kerajaan Persekutuan hari ini.

“Soalan saya di manakah proses penjimatan yang diamalkan oleh pihak kerajaan dengan perlantikan JPKKP yang sudah pasti berpakej elaun bulanan, ditambah dengan dana RM5.2 juta untuk projek pembangunan bawah JPKKP masing-masing,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bukankah lebih jimat untuk terus menyalurkan sumbangan itu kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang sedia ada.

Ktanya, kira-kira semudah itu pun TPM tidak boleh hendak membezakan atau apa formula penjimatan yang digunakan.

“Sebagai rakyat Terengganu yang dinafikan hak menikmati pembangunan dan bantuan dari kesan sekatan royalti dari kerajaan Persekutuan, saya ingin bertanya dari mana peruntukkan RM5.2 juta kepada JPKKP diperolehi?

“Adakah dari wang royalti yang disekat atau tabungan yang mana? Sekali lagi, saya nak tanya mana penjimatannya?” ujarnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, antara alasan bodoh yang diberikan pihak kerajaan untuk tidak menyalurkan wang royalti secara terus kepada kerajaan Terengganu adalah kebimbangan menyalah guna wang tersebut untuk tujuan politik dan membeli undi.

“Untuk pengetahuan TPM (yang sepatutnya tahu) Negeri Terengganu telah mendapat anugerah Audit tanpa teguran oleh Ketua Audit Negara selama 2 tahun berturut-turut, celah mana penyelewengannya? Begitu juga soalan tambahan saya, adakah JPKKP yang dilantik ini tidak berunsur politik? Boleh tolong jelaskan tak TPM?” katanya.

Menurutnya, jika benar pelantikan JPKKP dan dana yang diberikan itu daripada kantung wang royalti, bukankah itu satu kezaliman dan pengkhianatan kepada rakyat Terengganu yang sepatutnya menikmatinya tanpa banyak birokrasi.

“Mungkin PM dan TPM rasa dengan menyekat wang royalti akan mengubah undi rakyat Terengganu kepada PHBN dalam PRU16 tapi untuk pengetahuan PM dan TPM, rakyat Terengganu dan seluruh Malaysia sedang meluat dan makin benci dengan tindakkan penindasan yang telah diamalkan.

“Jangan terkejut kalau PM dan TPM akan dikenang sebagai bapa sembang dan pembaziran negara nanti. Atau mungkin bapa penipuan dan pengkhianatan negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan PM dan TPM bahawasanya tiada kerajaan yang kekal selamanya.

“Paling menarik, makin zalim kerajaan, makin cepat jatuhnya. Masa jatuh nanti jangan gelabah, PM dan TPM. Rakyat tengah menunggu je ni,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -