Stoking berkalimah Allah: Tindakan tegas terhadap KK Mart

Abdullah Husin
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Badan Perhubungan PAS Negeri Johor mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap syarikat yang terlibat dalam kejadian penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Pesuruhjayanya, Ustaz Abdullah Husin berkata, sikap pihak terbabit yang mengakui kesilapan dan memohon maaf secara terbuka adalah dipuji, namun sikap kurang teliti dan kecuaian amatlah dikesali dan tidak boleh dibiarkan.

- Advertisement -

“PAS Johor mendesak pihak berwajib agar sentiasa awas dan mengambil tindakan tegas dengan isu-isu sebegini kerana ia melibatkan sensitiviti agama yang boleh mengancam ketenteraman  awam dan keharmonian masyarakat. 

“Ia merupakan suatu perbuatan yang jauh menyimpang daripada tamadun dan kemanusiaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Terdahulu,  penjualan stoking yang tertera kalimah Allah berjenama Miranosock itu dikesan dijual di cawangan kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway, Petaling Jaya seperti yang dilaporkan media-media massa baru-baru ini.

Tambah beliau, isu seumpama itu telah kerap kali berlaku yang mana apabila ia tular sahaja akan diikuti permohonan maaf.

“Polemik ini pastinya akan melukakan hati orang-orang yang beriman, yang mana ia melibatkan nama Allah SWT. Lebih-lebih lagi ia berlaku ketika Ramadan yang mulia, bulan yang diberkati. 

“Ini secara tidak langsung menunjukkan pihak terlibat tidak prihatin terhadap barangan atau produk yang ingin dipasarkan. Seharusnya sebelum ia dipasarkan perlulah diteliti terlebih dahulu,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -