Kerajaan zalim, tindas dan perkosa maruah rakyat

Kerajaan Persekutuan sengaja tangguh pembayaran royalti petroleum

Ustaz Husain Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Royalti petroleum yang juga disebut Kerajaan Persekutuan sebagai wang ehsan dan dana khas, adalah bayaran sepatutnya diberikan kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana ia adalah hak 1.4 juta rakyat negeri itu.

Senator Dato’ Ustaz Husain Awang menegaskan, namun hingga kini bayaran tersebut masih dalam status tunggakan sehingga hujung tahun 2023 berjumlah lebih RM1 bilion yang belum dibayar sepenuhnya.

- Advertisement -

“Penangguhan pembayaran royalti ini bukanlah satu tindakan yang bijak. Hakikatnya ia merupakan sebuah kezaliman dan penindasan,” bidasnya ketika berucap dalam Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara, di sini sebentar tadi.

Sedangkan katanya, majoriti rakyat negeri itu adalah Melayu dan beragama Islam di mana kini dibebankan dengan kenaikan kos sara hidup yang tidak berkesudahan ditambah lagi dengan sekatan hak untuk menikmati bantuan hasil royalti.

Menurut beliau, pelbagai kesalahan dan kekecewaan telah diluahkan oleh rakyat Terengganu kerana aspek kebajikan rakyat yang sebelum ini lantang dilaungkan Perdana Menteri ketika dii blok pembangkang kini hanya tinggal angan-angan belaka.

“Apakah ini yang dimahukan oleh Kerajaan Perpaduan dengan melihat kesusahan demi kesusahan ditanggung oleh masyarakat di Terengganu yang dinafikan haknya? Sudah terang dan nyata tindakan Kerajaan Madani hari ini jelas tidak mencerminkan semangat faderalisme.

“Yang seharusnya dijunjung tinggi oleh barisan kepimpinan negara. Perbezaan pegangan politik tidak seharusnya dijadikan alat untuk memecah-belahkan kerukunan masyarakat. Malah ia perlu dijadikan ruang dan medium untuk berwacana secara adil, matang dan bijaksana.

“Saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak kerajaan apakah halangan kerajaan daripada melaksanakan tanggungjawab kewajipan dan juga amanah yang telah termeterai menerusi Akta Petroleum 1975 ini?” persoal beliau.

Memetik Titah Diraja mengenai Perjanjian Malaysia 1963, beliau menegaskan supaya titah agar hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama ditunai dan dilaksana itu mestilah juga dipenuhi dalam perjanjian akta disebutnya.

“Bukan perjanjian itu untuk kepentingan satu pihak tetapi keperjanjian sememangnya untuk kepentingan kesemua pihak yang terlibat.

Maka, perjanjian dan sekatan yang dikenakan atau penafian dan sekatan yang dikenakan terhadap rakyat khususnya rakyat Terengganu adalah bercanggah sama sekali dengan tatalola yang baik.

“Malah ianya bercanggah sama sekali dengan konsep madani ke arah rakyat. Ini bukan memperkasakan rakyat namanya. Tetapi ianya mendera dan memperkosa maruah rakyat,” peringat beliau. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -