Kelantan teruskan usaha perkasa Enakmen Syariah

Dr Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta membentangkan kajian yang dibuat MKI dan memperkasakan Mahkamah Syariah dengan membuat pindaan kepada Perlembagaan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai kuasa untuk menggubal Enakmen Syariah.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, beliau berterima kasih kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk membuat kajian yang mendalam dan kritikal mengenai kompetensi DUN untuk menggubal Undang-undang Islam.

- Advertisement -

Dr Wan Martina mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara, Parlimen, di sini sebentar tadi.

MKI menurutnya, merupakan sebuah badan bebas yang ditubuhkan Majlis Raja-raja di Malaysia bertujuan bagi menyelaras pentadbiran agama Islam di seluruh negara pada tahun 1968 dan juga untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

“Seperti yang kita semua sedia maklum, kuasa Mahkamah Syariah berada di kedudukan yang paling rendah dan hanya boleh menghukum lebih rendah dari Mahkamah Majistret iaitu had 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 sebatan,” ujar beliau.

Tambah Dr Wan Martina, rakyat Kelantan berduka cita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan.

“Namun kita hormati dan akur dengan keputusan mahkamah. Semasa istiadat pembukaan penggal kedua Dewan Negeri Kelantan, Sultan Kelantan telah bertitah menggesa kerajaan terus memperkasa dan mempertahankan perundangan dan institusi syariah negeri.

“Sehubungan dengan itu satu usul telah dibawa ke persidangan Dewan Negeri Kelantan, usul untuk menggubal semula peruntukan-peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah yang telah dibatalkan telah dibawa oleh YB Melor.

“Usul ini telah mendapat sokongan sebulat suara termasuk dari pihak pembangkang. Dewan Negeri akan membuat pindaan supaya ia bersesuaian dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negara,” kata beliau.

Beliau membacakan Hadis Riwayat Ahmad dinilai sahih oleh al-Albani dalam sahih Al-Jamiq 5075 yang bermaksud, ‘Sungguh ikatan Islam akan terurai simpul demi simpul. Setiap satu simpul terurai maka manusia akan bergantung pada simpul berikutnya. Yang pertama kali terurai adalah masalah hukum dan yang paling akhir adalah solat’. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -