30 tahun jual jus semangka di bulan Ramadan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tempoh 30 tahun bukan jangka masa yang pendek tetapi itulah yang dilakukannya demi mencari rezeki setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Tidak terkesan dengan pelbagai pelbagai jenis minuman viral masa kini, seorang peniaga bazar Ramadan di Bandar Hussien Onn, di sini, sudah tiga dekad menjual hanya air jus semangka atau popular dikenali sebagai tembikai, setiap kali kemunculan bulan suci umat Islam ini.

- Advertisement -

Hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 50, dia menyatakan air semangka yang dijualnya tidak akan didapati di tempat lain, terutama dari segi keunikan proses penghasilannya.

“Air semangka sangat signatur dengan pelanggan setia saya, dan mungkin tidak akan ada yang berani buat seperti saya,” katanya ketika ditemui HarakahDaily, di sini.

Menurutnya, ini kerana setiap hari sepanjang Ramadan, dia akan memotong dan mengorek tembikai sebanyak 40 biji.

“Bagi mendapatkan rasa asli tembikai tersebut, ia perlulah diperap selama dua jam untuk mendapatkan jusnya, dan saya jual tanpa campuran air. Memang asli seratus peratus,” tambahnya.

Menurutnya, bisnes air semangka setiap kali Ramadan itu adalah warisan daripada bapanya, yang mana selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia menyambung perniagaan itu.

Sambil mengisi air dan buah tembikainya ke dalam plastik, dia berkata, “Sebenarnya menjual jus semangka ini hanyalah niat untuk berkongsi rezeki dan hanya memberi pelanggan rasa asli buah tembikai.” – HARAKAHDAILY 16/3/2024

- Advertisement -