Semakin ramai guru pilih bersara awal

Bebanan kerja adalah antara puca guru memilih untuk bersara awal.
- Advertisement -

ISU yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman di Dewan Rakyat, mengenai guru yang membuat pilihan bersara awal ternyata perlu difikirkan secara serius oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Abdul Latiff meminta KPM menyatakan adakah terdapat peningkatan jumlah guru yang bersara awal dan faktor menyebabkan peningkatan jumlah tersebut serta penyelesaian holistik kerajaan dalam menangani isu itu.

Menjawab persoalan ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, seramai 6,394 guru memilih bersara secara pilihan pada 2023, iaitui kira-kira 1.49 peratus daripada keseluruhan guru di negara ini.

- Advertisement -

Walaupun dari segi peratusan kecil, perkara yang membimbangkan ialah trend itu meningkat setiap tahun. Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 2022, iaitu 5,306 atau 1.23 peratus daripada jumlah keseluruhan guru.

Menurut Kah Woh, KPM menjalankan Kajian Tinjauan Faktor-Faktor Persaraan Awal Guru dan Kaitannya dengan Pembangunan Profesionalisme Keguruan pada 2022.

Katanya, hasil kajian menunjukkan bahawa antara faktor guru memilih persaraan awal bersara pilihan ialah kedudukan kewangan stabil, faedah persaraan, masalah kesihatan dan perubahan pelaksanaan dasar dan pendigitalan pendidikan.

Beliau berkata,, KPM telah mengumumkan 10 perkara bagi menjaga kebajikan guru seperti memperkasakan pengurusan pengambilan guru agar kekosongan di sekolah dapat dipenuhi dengan segera dan ini memberikan semangat baharu kepada guru-guru.

“KPM juga prihatin terhadap tahap kesejahteraan psikologi guru dengan menyediakan kemahiran pengurusan emosi, kawalan diri dan amalan harian yang positif berdasarkan tahap kesejahteraan psikologi yang dinilai melalui Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi).

Namun Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata antara faktor guru bersara awal kerana bebanan untuk melakukan kerja pengisian data disebabkan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedia ada tidak berfungsi dengan baik.

Katanya, ketika ini, sistem berkenaan tidak relevan dan sering menimbulkan masalah kepada guru.

“Sebagai contoh pada sesi akhir persekolahan lalu, sistem pengisian data bagi Sistem Pengurusan Identiti (iDME) dan Sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan Kokurikulum (PAJSK) mengalami masalah.

“Sudah sampai masa Kementerian Kewangan fokus menambah perbelanjaan yang besar untuk menaik taraf sistem ICT bagi Kementerian Pendidikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2024

- Advertisement -