Perlu siap sedia untuk hadapi musim kemarau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan persediaan bagi menghadapi kedatangan musim kemarau yang menyebabkan cuaca lebih panas dan kering di mana dijangka bemula pada Mac sehingga Ogos 2024, kata Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang).

Selain itu beliau juga meminta cadangan kerajaan untuk memanfaatkan air hujan yang keterlaluan sehingga berlaku banjir setiap akhir tahun sebagai persiapan menghadapi situasi tersebut terutamanya di negeri-negeri memerlukan termasuk Kelantan.

- Advertisement -

“Minta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyatakan apakah mekanisme penyelarasan antara agensi yang dilaksanakan untuk menghadapi musim kemarau di mana banyak kawasan di negara ini menghadapi masalah kekurangan bekalan air.

“Sejauhmana usaha kerajaan untuk memanfaatkan air banjir sebagai persiapan menghadapi kemarau terutamanya di negeri-negeri yang memerlukan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri dalam Persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menterinya Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, kerjasama antara agensi Persekutuan dan negeri sentiasa dilakukan bagi mencegah pencemaran air terutamanya air ketika musim kemarau untuk menjamin keselamatan dan kebersihan bekalan air di negara ini.

Usahasama membabitkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) dan kerajaan negeri turut membabitkan operasi pembenihan awan bagi meningkatkan aras air di empangan dan pengairan sektor petanian.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan turut menyelaras bantuan kepada operator air negeri semasa menghadapi krisis bekalan air akibat bencana alam atau faktor luar jangka dalam memberi bantuan teknikal dan misi bantuan berkaitan ke negeri-negeri.

“Ia selaras memorandum persefahaman atau MoU yang telah dimeterai bersama antara tanggungjawab operator air di negeri-negeri dalam menghadapi krisis bekalan air adalah merangkumi penyediaan tenga kerja, jentera, lori tangki dan sebagainya,” katanya.

Dalam memanfaatkan air banjir bagi menghadapi kekurangan sumber itu pada musim kemarau katanya, ia boleh dilaksanakan dengan mengunakan kaedah secara struktur seperti pembinaan empangan, kolam takungan yang sedang dilakukan di Sungai Klang dan Sungai Melaka.

Selain itu kerajaan juga akan memperluaskan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) merupakan sistem takungan air tepian sungai untuk menerima lebihan air khususnya ketika musim tengkujuh dan disalurkan terus Loji Rawatan Air ketika kemarau. HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -