Muslim tak dihalang bekerja di premis jual arak?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) meminta penjelasan daripada pihak kerajaan sama ada pernah membuat kajian terhadap keperluan mewujudkan suatu polisi jelas mengenai pekerja Muslim yang bekerja di premis menjual minuman keras.

Menurut beliau, ia berkaitan dengan larangan kepada mana-mana syarikat perniagaan ataupun perkhidmatan untuk membabitkan pekerja Muslim dalam urusan penjualan perkhidmatan minuman keras.

- Advertisement -

“(Ia) selari dengan kehendak undang-undang negeri bagi melindungi hak-hak pekerja Muslim,” ujar beliau semasa mengajukan soalan tambahan kepada soalan asal beliau dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat turut mengajukan satu lagi soalan tambahan berkaitan aktiviti libat urus Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkaitan libat bersama pemain industri berkaitan perkara itu.

“Adakah pihak JAKIM juga telah mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri dan pemain industri yang terlibat dalam kerangka Enakmen Jenayah Syariah Negeri bagi mengenal pasti usaha untuk mencegah perkara ini daripada berlaku?” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dalam jawapannya berkata, berkaitan dengan polisi larangan Muslim bekerja di premis-premis menjual arak, ianya perlu pendekatan holistik dan menyeluruh.

“Daripada aspek ini JAKIM buat masa ini memainkan peranan dalam aspek memberikan kefahaman dalam aspek pendidikan tarbiah dan dakwah. Dari aspek penguatkuasaan undang-undang ianya berada dalam bidang kuasa pihak yang lain,” katanya.

Tambah beliau, secara umumnya kawalan arak melibatkan tiga peringkat iaitu peringkat Persekutuan yang di bawah Akta Kastam dan juga Akta Eksais, di peringkat negeri dan juga di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam soalan asalnya, Tuan Guru Zulkifli meminta Perdana Menteri menyatakan usaha dan tindakan daripada JAKIM untuk membantu dan mengelakkan individu-individu Islam bekerja di premis-premis menjual arak atau terlibat dalam aktiviti penjualan arak dan berkaitan dengan arak. HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -