PAS sokong Raja-Raja Melayu daulatkan syariah Islam

Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS memikul tanggungjawab untuk berterusan menyokong dan mendukung Raja-Raja Melayu dalam mendaulatkan semula syariah undang-undang Islam di negara ini.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, PAS sentiasa komited untuk memastikan sistem perundangan dan kehakiman syariah di negara ini diperkasakan dari semasa ke semasa, sesuai dengan penubuhan parti itu. 

- Advertisement -

“Tidak hanya terbatas kepada undang-undang dan Mahkamah Syariah ini sahaja, PAS juga berhasrat agar keseluruhan undang-undang di negara ini bersumberkan dan mematuhi syarak.

“Ini kerana PAS meyakini bahawa hanya menerusi pelaksanaan undang-undang seperti ini dapat memupuk nilai dan keperibadian umat Islam, serta memberikan keadilan kepada semua manusia dan menjamin kerukunan hidup bermasyarakat di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pelbagai usaha yang dibuat oleh PAS mengenai perkara ini sejak dahulu sehingga sekarang sama ada di peringkat negeri mahupun negara adalah sekali gus memperkukuh kedudukan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam dan Islam sebagai agama rasmi.

“Dalam konteks negeri Terengganu, penggubalan dan penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Takzir) 2001 dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 yang telah diusahakan oleh PAS ketika menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu, adalah untuk menobatkan semula undang-undang Islam yang sudah pun menjadi amalan di negeri ini sejak lebih 700 tahun lalu, seperti yang tercatat pada Batu Bersurat Terengganu,” jelas beliau.

Tambah Muhammad Khalil, menerusi karya perundangan pertama yang pernah wujud dalam masyarakat Melayu-Islam ini, ia bukan sahaja membuktikan Terengganu sebagai tempat yang awal menerima Islam di Tanah Melayu, bahkan menjadi keterangan yang nyata bahawa hukum-hukum Islam sememangnya telah diamalkan secara menyeluruh oleh masyarakat di negeri ini, termasuklah berkaitan fiqh jenayah yang menjadi kemuncak kepada pelaksanaan syariah di Terengganu. 

“Sejak dahulu lagi, masyarakat Melayu-Islam di Terengganu memahami Islam sebagai al-Din (way of life) dan bukannya terhad kepada persoalan ibadat semata-mata,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu menyatakan, selain peranan pendakwah dan dukungan daripada raja-raja, perkembangan Islam selepas era Batu Bersurat Terengganu di negeri ini juga lebih menarik apabila sejarah memperlihatkan wujudnya institusi mahkamah yang membicarakan kes yang dihakimi oleh Sultan. 

Selain itu, ungkap Muhammad Khalil, diwujudkan juga undang-undang tubuh Negeri Terengganu iaitu Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil Al-Suluk pada tahun 1911 sebagai suatu pengisytiharan sebuah pemerintahan Islam yang merdeka bagi Terengganu, sekali gus berjaya menyekat pengaruh British di negeri ini.

“Pemikiran (world-view) dan pengamalan Islam dalam kalangan umat Islam ini akhirnya sedikit demi sedikit telah dirosakkan oleh kolonialisme penjajah yang telah memisahkan agama daripada sistem politik di dalam pemerintahan dan pentadbiran di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -