Terdesak: Pencarum KWSP mohon pertimbangan 

Azmi (tengah, kanan) dalam sesi penyerahan memorandum daripada tiga badan bukan kerajaan di luar pekarangan bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur pada hari ini, 4 Mac 2024. Turut kelihatan ialah Ahmad Fadhli (tengah, kiri).
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbangkan permohonan hampir 100,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menuntut pengeluaran secara bersasar.

Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir berkata demikian susulan daripada kaji selidik dilakukan berkenaan jumlah baki akaun 1 Pencarum KWSP dan mendapati seramai 99,335 pencarum telah mengambil bahagian. 

- Advertisement -

Menurutnya, hasil daripada kaji selidik ini, didapati lebih daripada 75 peratus pencarum mempunyai baki melebih RM10,000 dan ke atas dan majoriti pencarum adalah berumur antara 30 tahun dan ke atas. 

“Pencarum memerlukan pengeluaran KWSP secara bersasar ini (kerana terdesak) untuk menjelaskan hutang-hutang tertunggak dan pelbagai bebanan hidup demi kelangsungan hidup, membina kehidupan semula dan menyelesaikan pelbagai lagi masalah yang sedang mereka hadapi.

“Sehingga ke hari ini, PGIRM telah menghantar permohonan kunjungan hormat untuk berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, tetapi belum mendapat sebarang maklum balas. 

“PGIRM juga telah berjumpa dengan beberapa orang Ahli Parlimen dari Blok Kerajaan dan Blok Pembangkang untuk mendapatkan sokongan dan diterima baik,” jelasnya.

Tambah beliau, terdapat dua usul golongan pencarum bersasar daripada PGIRM yang telah dikemaskini dan meliputi kesemua pencarum yang terkesan.

“Pertama, suri rumah, ibu tunggal, bapa tunggal, peniaga kecil yang lama tidak mencarum melebihi tiga tahun dan mempunyai pekerjaan yang tidak tetapi dibenarkan mengeluarkan kesemua baki dari Akaun 1. 

“Kedua, pencarum yang masih aktif mencarum dibenarkan membuat pengeluaran daripada akaun 1 (rata-rata 99,335 pencarum tidak lagi mempunyai baki dalam akaun 2) minimum RM3,000 dan maksimum RM50,000 mengikut jumlah baki sedia ada,” ujarnya.

Azmi berkata, punca gesaan dan desakan oleh 99,335 pencarum adalah disebabkan oleh kehilangan mata pencarian ketika di usia pertengahan disebabkan syarikat tidak mampu lagi untuk membayar gaji dan tidak diberikan pampasan yang setimpal; kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang tetap dan stabil disebabkan faktor usia dan kesihatan; dan kesukaran untuk membayar hutang tertunggak dan komitmen lain mengikut waktu yg ditetapkan disebabkan pendapatan telah dikurangkan dan tiada lagi kerja lebih masa. 

“Seterusnya ia disebabkan oleh kesukaran untuk mengimbangi perbelanjaan susulan harga barangan asas yang melambung tinggi yang perlu ditanggung oleh pencarum secara 100 peratus kerana tiada lagi subsidi diteruskan oleh pihak kerajaan.

“Ia juga akibat kesukaran untuk mendapatkan bekalan barangan asas seperti beras, gula, minyak masak, barangan basah kerana pengeluarannya terhad dan terlalu mahal sehingga pencarum golongan B40 dan M40 menerima tekanan kerana tidak berkemampuan untuk meneruskan hidup dengan sempurna dalam membesarkan anak-anak mereka,” jelas beliau.

Turut hadir dalam sesi penyerahan memorandum yang telah berlangsung pada hari ini (4 Mac) ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari; Presiden Global Human Rights Federation (GHRF), Shashi Kumar Shanmugam; dan Pegawai Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi. 

Dalam pada itu menurut Azmi lagi, kenaikan sewa rumah yang berganda sehingga ada di antara pencarum yang gagal membayar sewa berbulan-bulan dan ada dalam kalangan mereka telah diarahkan untuk mengosongkan rumah kerana tunggakan dan pencarum tiada pilihan terpaksa berumah di dalam kenderaan dan mandi di stesen minyak dan hentian Rawat dan Rehat (RnR) terdekat bagi meneruskan kehidupan. 

“Harta sedia ada seperti rumah, kenderaan dan barang-barang perkakas rumah telah ditarik dan dilelong. 

“Segala simpanan yang disimpan telah habis digunakan sepanjang era pandemik Covid-19 yang melanda negara selama dua tahun bagi mengimbangi komitmen yang sedia ada kerana pendapatan tidak seimbang dan diberhentikan kerja tanpa diduga,” tambahnya. 

Beliau turut berkata, kenaikan SST sebanyak dua peratus juga telah memberi kesan kepada pencarum walaupun pihak kerajaan menyatakan bahawa ia tidak menjejaskan rakyat sebagai pengguna tetapi rakyat tetap terkesan kerana pembekal menaikkan harga barang dan ia memberi kesan kepada peniaga-peniaga kecil dan secara tidak langsung pengguna perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan keperluan mereka. 

“Pendapatan pencarum terutamanya dari golongan B40 masih rendah iaitu RM1,500 sebulan dan kenaikan gaji antara RM20 hingga RM40 setahun jika keuntungan syarikat memberangsangkan dan jika kurang keuntungan ada diantara pencarum tidak menerima apa-apa kenaikan gaji. 

“Kehidupan pencarum semakin tertekan saban hari sehingga berlaku perselisihan faham sehingga ada pasangan yang terpaksa mengambil jalan untuk berpisah kerana desakan hidup yang keterlaluan,” kongsi beliau.

Pencarum yang kehilangan pekerjaan pula, ujar Azmi, terpaksa bersaing dengan pekerja asing untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil yang mempunyai pendapatan tetap setiap bulan.

“Justeru, pihak kami berharap tuntutan pencarum ini dapat didengari dan diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kadar segera demi kelangsungan dan kelestarian hidup rakyat keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.  – HARAKAHDAILY- 4/03/2024

- Advertisement -