Pertimbangkan pengeluaran KWSP ikut kes pencarum

Wan Saiful (kanan) menerima memorandum daripada tiga badan bukan kerajaan di luar pekarangan bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur pada hari ini, 4 Mac 2024. Turut kelihatan ialah Azmi (kiri) dan Gulab Jan (tengah)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar mengikut kes yang dihadapi pencarum.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau menyokong usaha ahli pencarum KWSP menuntut pengeluaran simpanan KWSP secara bersasar mengikut kes (atau case by case).

- Advertisement -

Menurutnya, beliau mewakili rakyat yang sedang tertekan, dan mendesak kerajaan agar membenarkan pengeluaran secara bersasar. 

“Kriteria sasaran boleh ditentukan oleh kerajaan, termasuklah menyeimbangkan antara keperluan mendesak hari ini dengan keperluan menabung untuk hari tua.

“Jangan pukul rata semua pencarum. Seharusnya perkara ini diperhalusi secara case by case (kes demi kes),” katanya.

Terdahulu Wan Saiful menerima memorandum daripada tiga badan bukan kerajaan di luar pekarangan bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Antaranya Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Global Human Rights Federation, Shashi Kumar dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir; Presiden Global Human Rights Federation (GHRF) Shashi Kumar Shanmugam; dan Pegawai Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi. 

Wan Saiful juga berkata, secara prinsipnya, wang simpanan KWSP adalah wang pencarum, bukan wang kerajaan. 

“Maka, sepatutnya kerajaan mengambil serius tuntutan dan rayuan mereka untuk menggunakan wang sendiri.

“Pagi ini, saya menerima memorandum daripada wakil pencarum-pencarum yang sedang terdesak kerana kesempitan hidup.

“Dalam memorandum yang diserahkan kepada saya, dinyatakan dengan jelas pelbagai cabaran yang mendesak kehidupan mereka,” jelasnya.

Beliau menegaskan, kenaikan kos sara hidup rakyat mendadak adalah akibat kegagalan kerajaan yang tidak kompeten ini menambah kesusahan mereka. 

“Kenaikan kos sara hidup mendadak akibat kegagalan kerajaan yang tidak kompeten dan keadaan itu menambah kesusahan pencarum,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -