KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan wajib menggugurkan syarikat pembuat senjata zionis daripada acara rasmi Kementerian Pertahanan yang akan berlangsung di hadapan Pusat Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 6 hingga 9 Mei ini.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara tersebut amat mendukacitakan pelbagai pihak kerana terpalit dengan entiti yang menjadi antara penyumbang utama terhadap jenayah perang di bumi Gaza dan Palestin.
“Saya mendapat maklumat bahawa program tersebut iaitu Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 akan melibatkan ribuan syarikat pempamer daripada hampir 60 negara seluruh dunia. Hal ini termasuklah beberapa Insitut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia.
“Hasil dapatan oleh gerakan Gegar Amerika mendapati syarikat yang turut menyumbang kepada pembuatan senjata Zionis Israel seperti Lockheed Martin, MBDA (BAE Systems), Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI dan Leonardo turut hadir sebagai pempamer dalam program ini.
“Apa yang lebih mengecewakan, syarikat seperti Lockheed Martin dan MBDA (BAE Systems) yang menjadi penyumbang platinum kepada acara ini adalah merupakan pembuat kepada jet tempur yang saban hari mengebom rakyat Gaza dan Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, berkata perkembangan yang berlaku kali ini adalah tidak wajar sama sekali dibiarkan.
“Dalam keadaan semangat dan jiwa raga rakyat Malaysia terus kekal bersama perjuangan Palestin menerusi usaha boikot, demonstrasi dan sebagainya, serta seluruh warga dunia sedang hebat bangkit menolak Zionis, apakah wajar kerajaan Madani berdiam diri sahaja?
“Apakah patut Malaysia yang selama ini menjadi pendokong perjuangan rakyat Palestin membuka ruang entiti yang menumpahkan darah ratusan ribu umat Islam dalam negara kita? Sepatutnya sebarang perkaitan antara Malaysia dengan entiti Zionis Israel ini diputuskan secara jelas,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menuntut agar Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sememangnya terkenal dengan ketegasan agar menolak segala agenda pembantaian Zionis terhadap Palestin.
“Hal demikian supaya memastikan syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan jenayah perang Zionis ini digugurkan daripada acara yang mempunyai kaitan dengan Kementerian Pertahanan ini.
“Perkara ini amat penting sekali kerana menerusi acara ini beberapa memorandum persefahaman (MoU) turut dijangka akan ditandatangani melibatkan jumlah yang besar.
“Oleh sebab itu, inilah masanya untuk kita benar-benar menzahirkan ketegasan pendirian Malaysia. Ayuh kita hantar mereka pulang ke negara asal mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2024