Impak SST 8%: Tekanan lebih besar buat rakyat

Percaturan Kerajaan Madani yang menaikkan kadar SST kepada 8 peratus bermula hari ini, 1 Mac 2024 meletakkan rakyat dalam kancah tekanan yang lebih mencabar.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peningkatan kadar sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan memberi tekanan lebih besar kepada rakyat yang kini sedang berhadapan krisis beras dan nilai Ringgit yang merudum yang akan meningkatkan harga barang serta pengenalan cukai-cukai lain.

Kesan negatifnya ialah daya beli pengguna akan melemah dan akan mempengaruhi aktiviti ekonomi negara secara keseluruhannya.

- Advertisement -

Itu penegasan Profesional Istiqamah mengulas kadar baharu SST yang naik kepada 8% bermula pada hari ini (1 Mac) yang berkata, pihaknya maklum kerajaan sedang melaksanakan polisi ekonomi yang berkiblatkan International Monetary Fund (IMF). 

“Antara yang dilaksanakan adalah reformasi struktur ekonomi, dasar penjimatan (austerity) dan pengenalan cukai yang pelbagai.

“Kerajaan kehilangan potensi pendapatan hampir RM40 billion apabila memansuhkan GST pada era pentadbiran Pakatan Harapan (PH),” ujar kenyataan itu.

Tambahnya, meskipun diketahui bahawa sistem SST adalah lebih lemah berbanding cukai barang dan perkhidmatan (GST) dari sudut ketelusan, namun SST tetap dilaksanakan semula kerana ingin menunaikan janji populis.

“Menerusi SST, kerajaan hanya mampu mendapat sekitar RM17 billion. Ditambah dengan peningkatan terbaru kadar ini, kerajaan dijangka dapat menambah kira-kira RM3 billion pendapatan. Masih tidak menyamai nilai yang hilang daripada GST,” jelas kenyataan itu.

Menurut Profesional Istiqamah lagi, dengan kadar pulangan yang tidak begitu menguntungkan, rakyat negara ini yang akan menjadi mangsa peningkatan cukai ini.

“Cukai SST akan menyebabkan kesan peningkatan berganda pada setiap kitaran perniagaan kerana mekanismenya yang lapuk. Berbeza dengan sistem cukai GST,” jelasnya.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa sudah tiga orang pakar ekonomi menegur kerajaan untuk menghentikan kenaikan cukai SST, masing-masing Paolo Casadio dari HELP University, Geoffrey William (dari MUST) dan Professor Barjoyai Barjai (Unirazak); namun kerana ego dan keyakinan yang tinggi, nasihat ketiga-tiga ahli akedemik itu diketepikan begitu sahaja.

“Kadar SST bukan sahaja meningkat, bahkan implementasinya turut diperluaskan kepada servis-servis yang pelbagai antaranya servis membaiki alatan elektronik. Perkara ini bahkan dilaksanakan tanpa ada pemberitahuan yang betul kepada pemain industri.

“Kini para pemain industri bimbang, kenaikan harga barang tidak boleh dibendung ini akan membawa kepada pengurangan perbelanjaan oleh rakyat. Secara tidak langsung kelembapan ekonomi boleh berlaku.

“Akhirnya, rakyat khususnya kumpulan pertengahan terus terhimpit dengan pelbagai tekanan kos sara hidup gara-gara kelemahan polisi kerajaan,” ungkap kenyataan tersebut.

Sepatutnya, ujar Profesional Istiqamah, sistem SST juga perlu ditambah baik bagi meningkatkan ketelusan supaya para peniaga tidak boleh lari dari membayar cukai, namun perkara ini juga tidak dipeduli oleh pakar formula dan Menteri Kewangan Terbaik Asia.

“Selamat datang diucapkan kepada kadar baharu sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 8%.  Adakah ini yang dikehendaki rakyat? Yang pasti ia menambahkan tekanan ekonomi rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2024

- Advertisement -