KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO), Pembela Tanah Air (PETA) telah menghubungi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor untuk menyelesaikan isu rumah penduduk yang telah dirobohkan di Kampung Bunga Raya Subang, di sini, sejak semalam.
Sekretariat PETA, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, turut bersimpati atas kejadian yang telah berlaku.
“Hari ini adalah hari kedua, rumah mereka sedang dirobohkan.
“Tadi, saya berhubung dengan beberapa ADUN Selangor. Jadi, mereka bersetuju untuk mengadakan satu perjumpaan bersama penduduk bagi mencari penyelesaian, sama ada hari ini ataupun esok,” katanya dalam sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, hari ini.
Chegubard turut dimaklumkan penduduk bahawa mereka telah berjumpa bersama Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari sebaik arahan roboh perumahan dibenarkan mahkamah.
“Malangnya Menteri Besar Selangor tak ubah macam Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mereka sama.
“Bila rakyat jumpa, dia (menteri) akan bagi halwa telinga, janji itu janji ini, malah jaminan dia.. ‘tak apa, kau duduk dulu situ’.. Ada menteri besar boleh jawab macam tu?
“Akhirnya hari ini, tidak ada siapa ambil tanggungjawab, ada ibu sedang dalam pantang bayi berusia 19 hari, ibu tunggal, orang kurang upaya, sekarang ini mereka guna pendekatan cara samseng dengan potong elektrik dan potong air,” dedahnya.
Sementara itu, Chegubard berkata, beliau dimaklumkan lagi bahawa seorang penduduk yang sentiasa mempertahankan hak Kampung Bunga Raya Subang, K Rishi Kumar, 38, telah menerima ugutan dan motosikalnya telah dibakar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab pada malam tadi (29 Feb).
“Apa yang berlaku kali ini ialah perbuatan jenayah yang ‘seolah-olah’ menjadi halal pula.
“Nak roboh rumah secara elok, nak laksana secara elok, berdasarkan perintah mahkamah.. tetapi jangan menggunakan pendekatan samseng sebab negara ini ada hukum, bukan negara yang dikendalikan secara hutan.. siapa kuat dia boleh buat apa sahaja,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 1/3/2024