Gaza: 112 terbunuh ketika tunggu bantuan makanan

Penduduk Gaza menangisi kematian saudara mereka yang dibunuh tentera Zionis Israel pada 29 Feb 2024 ketika menunggu bantuan bekalan makanan. (FOTO: CNBC)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 112 rakyat Palestin dan mencederakan 760 yang lain di utara Gaza ketika mereka menunggu bantuan bekalan makanan.

Kementerian Luar Negeri Oman dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, serangan maut ke atas penduduk yang mencari bantuan makanan adalah sebahagian daripada ‘tindakan jenayah sistematik rejim Israel’.

- Advertisement -

Insiden itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa yang dilabelkan kementerian itu, sambil menambah bahawa ia ‘tidak lain hanyalah kesinambungan dasar pemusnahan yang dilakukan oleh rejim pencerobohan Israel’ di bumi Gaza.

“Kesultanan Oman menyeru masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dengan segera dan tegas untuk menamatkan keadaan kemanusiaan yang tragis di Semenanjung Gaza dan untuk memastikan negara haram  itu (Israel) bertanggungjawab sepenuhnya atas sasarannya terhadap orang awam dan kemudahan awam di Gaza,” tambah kementerian itu lapor Al Jazeera.

Selain itu, Kementerian Luar Negeri Turkiye berkata bahawa tentera Israel telah melakukan ‘satu lagi jenayah’ selepas menembak warga Palestin yang beratur untuk mendapatkan makanan di utara Gaza, di mana Israel telah menyekat atau menangguhkan sebahagian besar bantuan kemanusiaan selama berbulan-bulan.

“Israel telah melakukan satu lagi jenayah terhadap kemanusiaan dengan pembunuhan rakyat Palestin di Dataran Nabulsi. 

“Hakikat bahawa Israel, yang selama ini menggunakan kelaparan sebagai senjata perang di Gaza, kini menyasarkan orang awam yang tidak bersalah yang mencari bantuan menyelamatkan nyawa adalah bukti hasrat Israel untuk memusnahkan seluruh penduduk Palestin,” tegas kenyataan daripada kementerian tersebut.

Susulan serangan itu, Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Banga Bersatu (PBB),  Martin Griffiths berkata, “Kehidupan mengalir keluar dari Gaza dengan kelajuan yang menakutkan.”

Pusat Dasar Antarabangsa (CIP) pula menggesa Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden untuk menangguhkan pemindahan senjata ke Israel selepas pembunuhan beramai-ramai pencari bantuan di utara Gaza.

“Presiden Biden perlu berkata ‘sudah cukup’ dan akhirnya menamatkan sokongan Amerika Syarikat dan tidak lagi bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza,” tegas kata Naib Presiden Eksekutif CIP Matt Duss dalam satu kenyataan.

Duss juga menekankan keperluan untuk gencatan senjata, memetik perluasan perang ke Lubnan dan Laut Merah, yang mana beliau memberi amaran bahawa ia  boleh bertukar menjadi ‘konflik yang lebih dahsyat’.

“Hampir lima bulan genosid dan kebuluran orang awam di Gaza, dan penahanan dan penderaan berterusan terhadap tebusan Israel, tidak boleh diteruskan. 

“Sudah tiba masanya untuk Presiden Biden dan rakan kongsi AS akhirnya menggunakan kuasa mereka untuk menamatkan malapetaka ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2024

- Advertisement -