Tanah rizab Melayu di Semenanjung Malaysia makin mengecil 

Zaharah (tengah) dalam sidang media di Tapak Sejarah Wali 7 Kampung Sungai ChinChin, Batu 7, Gombak, Selangor pada 23 Feb 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

GOMBAK: “Semenanjung Tanah Melayu adalah tanah orang Melayu,kenapa pula orang Melayu hendak diusir?”

- Advertisement -

Itu penegasan yang diutarakan Penyelidik Sejarah dan Penulis Ahli Arkeologi, Zaharah Sulaiman susulan isu polemik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan kampung warisan sejarah Islam Melayu di Kampung Sungai ChinChin, di sini.

“Orang Melayu adalah asal penduduk di sini sejak ribuan tahun dan bukannya baharu 134 tahun serta mempunyai darah daging di sini sebagai perkampungan kecintaan mereka.

“Kenapa orang lain yang baru datang dalam 100 tahun atau 70 tahun atau 50 tahun pula yang dianggap sebagai penduduk asli di sini?

“Di Kampung Mukmin Warisan Mukmin,(juga di Gombak)…mereka (penduduk) telah diberi ataupun akan diberi pampasan cuma sebanyak RM30,000. Celah-celah gigi sahajalah RM30,000 itu. Nak buat apa, sebabnya dengan RM30,000 itu?

“Nak buat rumah tak boleh nak berhutang dengan bank? Nak sewa rumah pun tak cukup nak bayar deposit lagi, RM3000 itu macam perbodohkan penduduk,” katanya.

Zaharah berkata demikian dalam  sidang media Selamatkan Tanah Warisan Melayu Islam Gombak Utara Daripada Jajaran ECRL di Tapak Sejarah Wali 7, Kampung Sungai ChinChin, Batu 7, di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Gombak, Mohamed Yusof Sulaiman; Biro Guaman Jawatankuasa Bertindak Gombak, Zolazrai Zolkapli; serta wakil kepada ADUN Gombak Muhammad Hilman Idham.

Menurut Zaharah lagi, Tanah Rizab Melayu kini semakin mengecil di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Tanah Rizab Melayu makin mengecil. Kalau kita lihat dekat Wilayah Persektuan sahaja dah tinggal satu persen. Itu pun nak lagi ditindas lagii. Di sebelah Gombak ini lagilah,” luahnya.

Beliau turut menyuarakan perasaan hairan mengapa tanah orang Melayu dikacau, tetapi tanah dan ladang orang kaya dan pedagang  bangsa lain  serta bangsa asing di negara ini tidak diusik pun untuk dimajukan pembangunan?

“Jika mereka mahukan mengambil tanah penduduk di situ mesti bayar sekurang-kurangnya RM5 juta dan tempat dialihkan mestilah mempunyai nilai yang sama seperti ada sungai dan ekosistem lainnya,” tegas beliau.

Zaharah turut mengulas sejarah perjuangan orang Melayu selaku penduduk asal di Kampung Sungai ChinChin.

“Kita (orang Melayu) dah duduk sini ribuan tahun. Tanah tak dapat, lombong tak dapat, nak tanah-tanah apa ini yang dia nak sedekahkan tak ada tanah yang kita duduki berpuluh-puluh tahun itu yang itu nak diambil juga? 

“Apa bangsa pemimpin yang kita ada hari ini? Pemimpin yang kita letak dekat atas itu yang dipilih oleh rakyat tapi tak nak dengar cakap rakyat,” hujah beliau.

Tambah Zaharah lagi: “Jadi apa yang kita nak ialah  jangan kita dikacau. Sudahlah tanah itu sekangkang kera, tak sampai setengah ekar, tak sampai suku ekar. Nak suruh pindah sewa tempat lain dengan RM30,000. Bukan RM300 ribu, tapi RM30,000.

“Dia (ada) offer (buat tawaran) memang ada perbincangan tahun 2022 ke 2021, tetapi perbincangan itu tidak muktamad dan tidak ada perincian yang selesai menyelesaikan masalah ini. Tak ada. ia terhenti kat situ saja,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2024

- Advertisement -